Raja Muda titah hindari anak-anak dari bahaya mercun

- Advertisement -

JERAI: Ibu bapa diingatkan agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak agar tidak terjebak dengan aktiviti bermain mercun, titah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

- Advertisement -

Titah baginda, langkah itu untuk memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Saya harap ibu bapa memantau serta mengawasi anak masing-masing. Semua nak gembira menyambut raya, kita tak mahu berada dalam kesedihan,” titah baginda selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Raja Muda turut menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku ke atas dua beradik di Kuala Nerang kelmarin dan berharap ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Pada kejadian itu, dua beradik berusia empat dan tujuh tahun dilaporkan cedera akibat bermain mercun berhampiran kediamannya di Kampung Baru, kira-kira jam 8:15 malam.

Ia telah mengakibatkan Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, cedera parah, hancur semua jari hingga pergelangan tangan kiri dan bawah pipi kanan terkoyak, manakala adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, hanya cedera ringan.

“Saya harap kejadian ini tidak berlaku lagi di Kedah atau negeri-negeri lain sebab tiap-tiap tahun bila dekat nak raya, ada kejadian macam ini,” titah baginda lagi.

Oleh itu baginda turut menyeru agar pemantauan ketat dijalankan oleh pihak berkuasa terutama membabitkan larangan terhadap penjualan mercun berbahaya.

Sementara pada majlis itu, Tengku Raja Muda turut perkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 170 penerima.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIK memaklumkan agensi itu memperuntukkan sebanyak RM626,400 untuk diagihkan kepada 2,950 penerima di negeri itu.

Sumbangan itu diharapkan dapat meringankan beban dan memberikan kegembiraan buat golongan kurang berkemampuan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!