PAS selamatkan umat dari jadi bidak catur musuh

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemimpin PAS sejak terdahulu, seperti Almarhum Ustaz Yusuf Rawa, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta lain-lain, mewakafkan diri untuk perjuangan Islam, hingga hujung hayat mereka.

- Advertisement -

Situasi itu juga tidak terkecuali kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bukan sahaja tokoh politik dan agama di Malaysia, malah merupakan tokoh paling senior dalam Gerakan Islam peringkat antarabangsa.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga sekarang, sekiranya terdapat perkara besar berlaku mereka akan merujuk kepada beliau.

“Isu-isu yang berlaku termasuk isu yang sengaja dibesarkan oleh musuh berkenaan pertembungan Mazhab Sunni dan Syiah dalam senario politik antarabangsa, bagaimana negara-negara umat Islam perlu memahami agar tidak menjadi proksi kepada musuh,” kata beliau.

Berikutan itu jelasnya, PAS Pusat telah buat keputusan untuk mengadakan Ijtimak Antarabangsa, kali kelima yang dijangkakan pada penghujung tahun ini, di Malaysia.

Beliau berkata demikian pada ucapan sempena majlis sambutan Nuzul Al-Quran, peringkat PAS Kedah, di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, di sini malam kelmarin.

“Ijtimak itu bukan sekadar membincangkan isu yang berlaku di Palestin tetapi juga pertembungan yang merugikan Islam sama ada dalam mahupun luar negara.

“(Dan) bagaimana perangkap musuh yang dipasang, tanpa disedari umat Islam terjebak di dalam percaturan musuh,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan, umat Islam menjadi ‘bidak-bidak’ catur dalam percaturan orang lain yang akhirnya bertembung sesama sendiri dan hilang kekuatan dan keupayaan.

Sementara Tuan Ibrahim juga menyentuh berkenaan kelebihan Ramadan di mana ia merupakan satu-satunya bulan yang disebut Allah di dalam Al-Quran.

“Allah nak beritahu kita besarnya Ramadan bukan pada puasanya, tetapi kerana Al-Quran. Kita selalu fikir pasal puasa, bukan.

“Sebab itu bila Allah sebut Ramadan, Dia tidak kaitkan dengan puasa, tapi Allah sebut Al-Quran. Maka tentulah Al-Quran lebih besar daripada puasa,” katanya lagi

Dalam pada itu jelas beliau, para ulama serta umat Islam terdahulu, membesarkan Al-Quran bukan tarikh diturunkan.

“Berbeza dengan kita, sebut tarikh turun Al-Quran sebab boleh cuti.
Tarikh sebenarnya tak penting tetapi kandungan itu sendiri yang penting,” celahnya lagi

Al-Quran juga katanya, memuktamadkan beberapa perkara termasuk kerasulan terakhir, walaupun perkara itu disebut Allah di dalam Kitab Taurat dan Injil tetapi tidak menyebut bila dan siapa.

Dalam tempoh ratusan tahun ujarnya, umat manusia menanti-nanti kedatangan Nabi terakhir, maka wujudkan pelbagai dakwaan, namun apabila turunnya Al-Quran, ia memuktamadkan pilihan Allah terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Sama jugalah Al-Quran memuktamadkan berkenaan isu dan masalah yang dihadapi.

“Dalam Al-Quran ada 17 ayat yang Allah SWT menjawab pertanyaan manusia, dan 13 ayat turun memuktamadkan keputusan kepada persoalan yang ditanya,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim juga membicarakan betapa hebatnya Al-Quran yang Allah turunkan kepada seorang Rasul yang ummiy iaitu tidak tahu membaca dan menulis.

Katanya, Allah SWT Maha Kaya dan Maha Mengetahui dan Dia tahu Nabi Muhammad SAW tidak boleh membaca dan menulis tetapi Baginda dipilih agar tiada yang menuduh Al-Quran itu adalah rekaan Nabi Muhammad SAW.

Sungguhpun katanya sampai ke hari ini, musuh Islam masih menganggap Al-Quran adalah rekaan Nabi Muhammad SAW walaupun mereka tiada hujah untuk membuktikan.

“Habis tu kenapa Allah suruh Nabi baca, sebab ayat yang pertama yang turun adalah Iqra’. Allah nak beritahu kita membaca tidak semestinya daripada tulisan tetapi baca juga boleh melalui mata.

“Kebesaran Allah, keagungan Allah, ciptaan Allah, kita baca cara tak bertulis. Membaca dari penglihatan ini lebih besar daripada membaca daripada apa yang ditulis,” jelasnya.

Namun ujar beliau, mengikut kajian Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar tahun 1990-an, orang Melayu ini membaca hanya dua muka surat setahun.

“Hari ini kita tengok, kalau tulisan panjang, ‘confirm’ dah orang tak baca, pendek-pendek baca, panjang tak baca. Kalau panjang dan kecil pula tulisan, tua pula, lagi tak baca,” guraunya lagi.

Dalam pada itu beliau juga menyarankan agar di bulan mulia ini, banyakkan membaca Al-Quran melebihi melayari media sosial dan sebagainya.

“Bila nak baca Al-Quran mengantuk. Tengok TikTok tak mengantuk,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!