ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah komited untuk memastikan para pesawah di negeri ini tidak dibelenggu oleh isu dan cengkaman kartel serta membantu meningkatkan pendapatan petani.
Melalui inisiatif varieri benih padi yang akan dikeluarkan oleh oleh pihak negeri ini, ia dijangka akan membantu para pesawah meningkatkan hasil pengeluaran mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Perladangan Negeri, Dzowahir Ab Ghani, usaha digerakkan ini secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kartel yang memanipulasi bekalan benih padi.
Selain membekalkan varieti benih padi berkualiti katanya, usaha itu juga membantu pesawah yang terpaksa membeli benih padi melebihi harga kawalan kerajaan.
Ujar beliau, rata-rata pesawah sanggup membeli benih padi keluaran Kedah itu sekiranya inisiatif berkenaan dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
“Benih padi yang digunakan sekarang, tak elok, jadi padi angin, sambau, kesianlah kepada petani kita ni. Kena bayar mahal, petani tertekan dan ditekan, jadi kerajaan serius untuk membantu bagi meningkatkan hasil mereka,” katanya lagi.
Petani di Kedah dijangka akan menggunakan varieti benih padi keluaran Kedah pada penanaman padi untuk musim akan datang.
Buat masa ini, varieti benih itu masih dalam peringkat kajian sebelum digunakan secara meluas di negeri itu pada penghujung 2026 akan datang.
Berikutan itu, menerusi kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM)dan Agensi Nuklear Malaysia, satu tapak kajian seluas 20.2 hektar di Tobiar, Pendang dipilih bagi menjalankan ujian ke atas varieti padi yang berpotensi.
Kajian menyeluruh itu diadakan bagi memastikan varieti padi yang akan dikeluarkan ini lebih baik dan berdaya saing serta sesuai untuk tanah sawah di Kedah.
Usaha itu bukan sahaja untuk membantu para petani meningkatkan pendapatan tetapi juga untuk membantu rakyat mendapatkan bekalan beras dengan harga lebih rendah berbanding di pasaran.
Ia juga sebagai usaha menampung keperluan rakyat berikutan kekurangan beras tempatan di pasaran ketika ini.
“Purata pendapatan pesawah tidak sampai RM500 sebulan. Ini bukan sekadar miskin biasa, tetapi miskin tegar. Mereka bekerja di bawah panas terik setiap hari untuk memastikan kita semua mendapat bekalan beras yang mencukupi.
“Tetapi akhirnya pendapatan mereka tidak sepadan dengan usaha yang dicurahkan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti itu lagi. – HARAKAHDAILY 17/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!