KUALA LUMPUR: Individu yang tidak melaporkan jenayah secara am atau sengaja ‘menutup mata’ boleh disiasat berdasarkan Seksyen 25(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan rasuah.
Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, untuk kesalahan tidak melaporkan jenayah secara am boleh dirujuk di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana sengaja tutup mata.
“Sesiapa yang ketahui atau yang ada sebab mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan, dengan sengaja meninggalkan daripada memberi apa-apa maklumat mengenai kesalahan itu yang ia terpaksa di sisi undang-undang memberi, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
“Yang ia terpaksa di sisi undang-undang memberi, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
“Seksyen 13 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan orang ramai memberikan maklumat jenayah secara am,” katanya kepada _Harakahdaily_.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berhubung dua bekas pembantu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang didakwa terpalit kontroversi rasuah.
Pada 6 Mac, Naib Pengerusi DAP itu mendedahkan bahawa SPRM telah menahan dua bekas kakitangannya yang sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmatnya sebelum meletak jawatan tahun lepas.
Kok percaya siasatan SPRM ada kaitan dengan pembelian papan pintar pada harga yang didakwa melambung tinggi.
Jelasnya, pada penghujung Oktober tahun lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menghubunginya untuk memaklumkan peruntukan kawasannya sebanyak RM99,000 telah digunakan untuk menyalurkan papan pintar dan TV pintar kepada 16 sekolah.
Bagaimanapun, Kok menyatakan bahawa dia tidak pernah meluluskan peruntukan berskala besar itu, dan siasatan lanjut mendapati syarikat yang mengeluarkan invois itu adalah entiti penipuan.
Difahamkan, salah seorang daripada individu yang ditahan SPRM berhubung kes itu adalah calon dalam pemilihan DAP, susulan itu, timbul dakwaan menuduh Kok menggunakan SPRM untuk mempengaruhi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan datang.
Bagaimanapun, Kok menegaskan dia tidak mempunyai pengaruh dalam SPRM dan menafikan dirinya memfailkan laporan kepada suruhanjaya itu. – HARAKAHDAILY 14/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!