KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar melakukan audit forensik terhadap Sapura Energy Berhad (SEB) sebelum menyuntik dana RM1.1 bilion ke dalam syarikat itu.
Menurut beliau, laporan audit forensik Sapura tidak pernah diterbitkan kepada umum dan sehingga kini, tiada bukti konkrit bahawa audit tersebut telah dijalankan oleh Ernst & Young (EY) seperti yang didakwa.
“EY memang merupakan juruaudit luar SEB bagi tahun kewangan 2024, namun firma itu hanya mengeluarkan pendapat tanpa pengubahsuaian (unqualified opinion) terhadap penyata kewangan syarikat.
“Bermaksud laporan kewangan disediakan mengikut prinsip Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) tanpa sebarang kecacatan material yang dikesan dalam audit.
“Jika audit forensik benar-benar dijalankan, sepatutnya wujud penemuan ketirisan kewangan, analisis perakaunan kreatif atau ‘fraudulent misstatement’ (salah nyata yang menipu) dalam laporan kewangan syarikat.
“Audit forensik tidak sekadar menilai penyata kewangan, tetapi menyelidik kemungkinan berlakunya penipuan kewangan, pemalsuan laporan kewangan, dan pengubahan wang haram yang disengajakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, audit EY terhadap SEB setakat ini hanya menilai kesinambungan perniagaan syarikat, dan bukan menyiasat kemungkinan wujudnya ketidakpatuhan terhadap peraturan kewangan atau kesalahan dalam pengiktirafan hasil dan perbelanjaan.
“Jika audit forensik benar-benar dilakukan, mengapa kerajaan tidak menerbitkan laporan tersebut kepada umum? Jika benar mahu memastikan ketelusan, rakyat berhak melihat bukti konkrit bahawa dana RM1.1 bilion ini disalurkan dengan asas yang kukuh.
“Tanpa laporan boleh dirujuk, kenyataan bahawa audit forensik telah dilakukan hanya menjadi satu lagi retorik politik tanpa bukti sahih. Saya tidak menyangka audit forensik dimaksudkan Dato’ Seri Anwar ketika berdebat dengan Dato’ Sri Najib dulu hanyalah audit kewangan biasa.
“Jika inilah yang dimaksudkan, bermaksud berjuta-juta audit forensik sedang dilaksanakan di negara kita sekarang!” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Fadhli dalam pada itu menegaskan laporan audit forensik seharusnya didedahkan kepada rakyat jika kerajaan benar-benar komited terhadap prinsip akauntabiliti fiskal dan ketelusan korporat.
“Jika tidak, kenyataan mengenai audit forensik Sapura tidak lebih daripada sekadar justifikasi politik untuk keputusan yang bercanggah dengan janji terdahulu.
“Hairannya, Anwar dahulu lantang mengkritik kerajaan terdahulu kerana menyuntik dana ke dalam Sapura tanpa ketelusan, tetapi kini beliau melakukan perkara yang sama tanpa memenuhi janjinya sendiri untuk memastikan audit forensik dijalankan sebelum sebarang suntikan dana dibuat.
“Apakah ini bukan satu lagi contoh ketidakkonsistenan dalam dasar dan pendirian fiskal kerajaan? Kemudian orang bertanya, adakah kami setuju atau tidak dengan tindakan kerajaan ini? Ini hakikatnya hanyalah bertujuan untuk melarikan isu sebenar.
“Persoalannya bukan isu setuju atau tidak. Jika ia perlu untuk selamatkan aset strategik ini ini, lakukanlah. Persoalannya, kenapa dulu kamu berdegar-degar sembang kencang, nah sekarang kamu pun ulanginya?” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!