KUBANG KERIAN: PAS kini sedang memberi tumpuan utama kepada usaha memperkemaskan Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.48 Ayer Kuning, Perak sebelum memuktamadkan calon bertanding.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat berkaitan PRK telahpun diadakan, namun sehingga kini parti belum menerima senarai nama calon daripada pihak negeri.
“Biasanya proses pencalonan akan bermula di peringkat kawasan yang akan menghantar senarai nama kepada Majlis Syura Ulama untuk dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Ifthor DUN Salor, di sini malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu, ADUN Salor Saizol Ismail dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS DUN Salor serta pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain.
Beliau menjelaskan, keputusan pemilihan calon akan dibuat setelah Majlis Syura Ulama menerima senarai tersebut dan melakukan penelitian sewajarnya.
“Setakat ini, parti masih belum menerima sebarang senarai calon,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pengundi agar bijak membuat pilihan pada PRK kali ini dengan mengambil kira masa depan negara, bukan sekadar tawaran jangka pendek.
“Kadang-kadang trend budaya politik ini, sebahagian pengundi hanya berfikir tentang apa habuan yang akan mereka peroleh, khususnya pada hari mengundi — siapa yang akan bagi duit,” ujarnya.
Katanya, sikap sebegini memberi kesan jangka panjang kerana pemimpin yang dipilih akan menentukan dasar dan hala tuju negara.
“Pilihan raya bukan waktu untuk mengaut keuntungan atau kekayaan peribadi, tetapi ruang untuk memilih pemimpin yang bertanggungjawab terhadap masa depan negara dan masyarakat pelbagai kaum,” jelas beliau lagi.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim menegaskan PRK ini harus menjadi referendum rakyat terhadap pelbagai isu semasa yang sedang melanda negara.
“Kita nak tengok sejauh mana sensitiviti rakyat terhadap apa yang berlaku dalam negara hari ini, termasuk isu kos sara hidup, bilout, penjualan Malaysia Aviation Group Berhad, serta pelbagai isu yang sedang didraf di Parlimen,” katanya.
Menurutnya, sikap rakyat dalam pilihan raya ini mencerminkan tahap kesedaran mereka terhadap nasib dan hala tuju negara pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 14/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!