
KAPAR: Klinik Kesihatan Rantau Panjang mengalami kesesakan teruk dengan kehadiran pesakit mencecah 700 orang pada setiap hari perkhidmatan di premis itu, di sini.
Keadaan tersebut sehingga menyebabkan bukan sahaja ruang menunggu menjadi sempit, malah juga tempat letak kenderaan yang disediakan turut tidak mencukupi menampung kedatangan pesakit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh menyatakan rasa kecewa dan sedih dengan keadaan itu selepas menerima banyak aduan daripada penduduk setempat.
“Kami mendapat banyak aduan berhubung kepadatan pesakit di klinik sini antaranya adalah tempat meletak kenderaan yang sempit serta ruang menunggu yang terhad lebih-lebih lagi di awal pagi.
“Saya turun berjumpa dengan pengurusan klinik dan mereka mengakui perkara tersebut serta memohon kabin tambahan bagi kegunaan bilik rawatan bagi menampung kepadatan pesakit,” katanya.
Beliau turut diberi taklimat berkenaan operasi klinik kesihatan tersebut yang mempunyai 60 kakitangan harian bermula dari jururawat hingga kepada doktor perubatan.
“Saya mohon kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah klinik yang baharu demi memastikan khidmat perubatan terjamin buat penduduk setempat.
“Perkara ini serius, moga-moga mendapat perhatian pihak kementerian dan agensi yang terlibat,” kata beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar. – HARAKAHDAILY 14/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!