TANAH MERAH: Pasukan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup minyak petrol ke Thailand dalam kejadian yang berlaku di Sungai Golok, awal pagi kelmarin.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), operasi tersebut dijalankan oleh pasukan di bawah Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Dalam kejadian sekitar jam 1:50 pagi, anggota operasi yang sedang melaksanakan Pos Pendengaran mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang mencurigakan menghampiri tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia.
Apabila didekati, kelihatan beberapa individu sedang menghanyutkan tong-tong minyak yang diikat dengan tali ke seberang Thailand, dipercayai sebagai taktik bagi mengelakkan bunyi enjin bot dikesan pihak berkuasa.
Pasukan operasi segera bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan tersebut.
Turut dirampas ialah 24 tong kosong, sebuah kenderaan Ford Ranger dan beberapa barangan peribadi milik suspek dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM23,903.60.
Suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan hasil ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.
TDM menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan (JRS) serta memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin. – HARAKAHDAILY 13/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!