KOTA BHARU: Peniaga bazar Ramadan di negeri ini diingatkan sentiasa menjaga kebersihan dan tidak menjual makanan yang telah rosak bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada pelanggan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penjualan makanan basi atau tidak selamat dimakan bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan pembeli, bahkan turut menimbulkan persoalan mengenai keberkatan rezeki yang diperoleh.
Pada masa yang sama, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu lagi, ia akan menjejaskan perniagaan mereka yang terlibat itu sendiri.
“Jika lauk yang sudah rosak masih dijual, dibimbangi kita memperolehi pendapatan yang tidak berkat, bahkan mungkin menjadi haram,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Nur Ramadan Wanita Peringkat Negeri Kelantan di Masjid Muhammadi, di sini hari ini.
Program berkenaan anjuran Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri.
Beliau turut merujuk insiden yang berlaku semalam apabila sepasang suami isteri terkejut mendapati ikan cencaru berlada yang dibeli di sebuah gerai di Wakaf Zin, Bachok dipenuhi ulat ketika dipanaskan untuk sahur.
Menurut beliau, rezeki daripada jualan pada bulan Ramadan sepatutnya bersih, halal dan baik, justeru aspek kebersihan amat penting untuk diberi perhatian oleh semua peniaga.
Beliau turut menekankan, keunikan makanan Kelantan merupakan antara tarikan utama pelancong ke negeri ini, justeru kebersihan, keaslian resipi dan harga yang munasabah perlu sentiasa dipelihara terutama nasi kerabu.
Dalam pada itu, Mohamed Fadzli turut mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan pada bulan mulia ini dengan mengenakan harga yang tidak munasabah kepada pelanggan.
“Kelantan terkenal dengan makanan enak, harga berpatutan serta masyarakat yang mesra. Saya menyeru agar peniaga menjadi duta negeri ini kerana mereka berada di barisan hadapan dalam perkara ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!