ALOR SETAR: Semua majikan di negeri Kedah dinasihatkan agar melunaskan pembayaran gaji kepada pekerja mengikut tempoh serta masa yang dibenarkan oleh undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri, Wong Chia Zhen berkata, kelewatan pembayaran gaji akan menjadi perkara paling sensitif terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Kelewatan melunaskan gaji pekerja perlu dielakkan demi memastikan keharmonian hubungan pekerja dan majikan, bagi memastikan kelancaran pertumbuhan ekonomi negeri ini,” kata beliau pada kenyataannya hari ini.
Tegasnya, lagi, kejadian rusuhan yang membabitkan sekumpulan pekerja dengan beberapa kakitangan penyeliaan di sebuah kilang di Pokok Sena, 11 Mac kelmarin diharap tidak berulang lagi.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah akan menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Kerja 1955 iaitu berkaitan kelewatan pembayaran gaji yang dipercayai menjadi punca rusuhan tersebut.
Terdahulu beliau dan Pengarah JTK Kedah, Arzanil Bahadon, juga bersama beberapa pegawai berkaitan turun ke lokasi bagi memahami situasi sebenar serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian itu.
“JTK Kedah akan mengambil tindakan sewajarnya jika mendapati ada berlaku keengkaran undang-undang di pihak majikan.
“Malah pada perbincangan bersama pengurusan kanan kilang, mereka berjanji akan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.
“(Dan) akan berusaha memastikan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa akan datang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim itu lagi.
Walau bagaimanapun, setakat ini pekerja yang terbabit dengan insiden itu telah kembali bekerja seperti biasa, dan operasi harian kilang juga telah pulih sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!