KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusof mencadangkan agar had kuota jemaah umrah dan haji ditetapkan berdasarkan modal berbayar pengendali bagi mengelakkan kes penipuan serta insiden jemaah terkandas.
Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pengendali hanya mengambil jumlah jemaah yang mampu mereka uruskan secara kewangan dan logistik.
“Saya cuma ingin tahu, adakah terdapat kuota khusus mengikut modal berbayar? Contohnya, jika kita limitkan RM1 juta, berapa orang yang dia boleh kendalikan jemaah supaya tidak ada penipuan di sini.
“Contoh yang tular baru-baru ini, sampai 300 orang yang terkandas,” katanya ketika mencelah penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mond Na’im Mokhtar, di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Menurut beliau, mekanisme kawalan itu juga dapat memastikan kesinambungan antara jumlah wang yang telah dibayar oleh pengendali dengan bilangan jemaah yang boleh mereka uruskan.
“Sekiranya pengendali tidak mempunyai dana mencukupi, mengapa mereka masih mengambil jemaah dalam jumlah yang ramai?” tambahnya.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, cadangan yang dikemukakan itu akan diambil sebagai pertimbangan dalam menambah baik pengurusan jemaah haji dan umrah di Malaysia.
“Setakat ini, prasyarat yang ditetapkan adalah syarikat perlu mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta sebelum boleh diberikan lesen oleh Tabung Haji,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah pengendali jemaah haji (PJH) yang diberikan lesen turut meningkat daripada 25 syarikat pada tahun lalu kepada 37 syarikat tahun ini. – HARAKAHDAILY 13/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!