Kelantan tubuh JK tangani isu-isu komuniti Orang Asli

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan terus memperkasakan kebajikan Orang Asli dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kebajikan Orang Asli, kata Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

- Advertisement -

Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan menangani isu-isu berkaitan komuniti tersebut secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Terangnya, jawatankuasa ini akan diterajui oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat,  Zamakhshari Muhamad, bagi memastikan keperluan serta hak Orang Asli di negeri ini lebih terpelihara.

“Di peringkat Persekutuan sudah ada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), jadi di peringkat negeri kita tubuhkan jawatankuasa ini bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

“Kita juga berharap dapat menjalinkan kerjasama erat dengan JAKOA dalam hal ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan selepas Mesyuarat Exco di MABDA, semalam

Menurut beliau, pendekatan langsung dengan komuniti Orang Asli amat penting agar kerajaan negeri dapat memahami keperluan sebenar mereka tanpa bergantung kepada pihak ketiga.

“Kerajaan mahu mendengar sendiri suara Orang Asli, bukan melalui orang ketiga yang mungkin mempunyai agenda tersendiri,” tambahnya lagi.

Katanya, kerana itu kerajaan negeri mengharapkan perbincangan secara terus dengan mereka supaya sebarang tindakan yang diambil benar-benar berasaskan keperluan dan kehendak mereka sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika diminta mengulas mengenai cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun depan, beliau menegaskan Kelantan akan mengambil pendekatan berhati-hati. – HARAKAHDAILY 13/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!