KEDAH telah diumumkan sebagai ‘Pilihan Malaysia’ bagi Pameran MATTA Fair 2025 yang akan berlangsung pada 18 hingga 20 April depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
Di mana ia dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pemilihan itu mencerminkan komitmen MATTA atau Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, mempromosikan Kedah sebagai pusat pelancongan domestik yang kaya dengan keindahan semula jadi serta warisan budaya.
Keunikan negeri Kedah yang kaya dengan pelbagai daya tarikan sememangnya mampu menggamit pelancong singgah bertandang ke negeri itu.
Antaranya kecantikan semulajadi seperti seperti sawah padi yang luas menghijau, bukit bukau serta air terjun menyegarkan, keindahan puncak Gunung Jerai, kejernihan perairan Langkawi dan lain-lain.
Termasuk beraneka jenis makanan utara khususnya Kedah yang lazat serta menyelerakan, daripada masakan kampung hinggalah masakan moden.
Peluang mempromosikan keunikan dan daya tarikannya kepada pelancong tempatan serta antarabangsa pada MATTA Fair kali ke-56 itu, sejajar dengan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Dijangkakan lebih daripada 200,000 bakal mengunjungi pameran itu kali ini dengan pelbagai promosi percutian menarik termasuk pakej balik kampung serta tawaran penginapan pada harga berpatutan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Keusahawan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, sejajar dengan kempen TMK 2025, 170 acara sepanjang tahun, termasuk 45 program utama diadakan pelbagai lokasi.
Serta tidak terkecuali acara-acara di peringkat daerah seluruh Kedah untuk menggamit kehadiran pengunjung dari dalam mahupun luar negara.
“Setiap daerah mempunyai keistimewaan dan keunikan masing-masing dan kita nak mereka menggunakan keistimewaan yang ada secara menyeluruh untuk menghidupkan pelancongan di Kedah ini,” kata beliau.
Malah ujarnya, kerajaan negeri dengan kerjasama pemain industri pelancongan juga telah bersedia seawal TMK 2025 dilancarkan menyediakan pakej-pakej menarik ‘Exprerience Kedah’ agar kenangan berada di Kedah, tidak dilupakan sepanjang hayat.
Jelasnya lagi, kerjasama semua pihak itu akan melonjakkan industri pelancongan di negeri ini serta memeriahkan lagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun hadapan.
Selain itu, Langkawi merupakan destinasi pilihan ramai sama ada pelancong tempatan, dalam negara mahupun antarabangsa kerana keunikannya yang tersendiri menjadi tarikan utama pelancong Kedah.
Sehingga bermulanya TMK 2025, Langkawi menerima pengunjung sehingga 300,000 pelancong di mana jumlah tersebut mencatatkan peningkatan berbanding 250,000 dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Kadar penginapan di hotel-hotel berdaftar di Langkawi juga meningkat daripada 58.1 peratus pada Januari 2024 kepada 68.3 peratus tahun ini.
Justeru, dengan usaha berganda dan komitmen jitu dari semua pihak, pelancongan di sebelah tanah besar juga dijangka mampu mengikuti jejak Langkawi dan menjadi pilihan pelancong dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi. – HARAKAHDAILY 13/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!