Jamin kebebasan media jika kuasai kerajaan negeri

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri (tengah) ketika dalam sesi dialog bersama media dalam majlis anjuran PAS Selangor di Perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor, Shah Alam, Selangor, hari ini.
- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor memberi jaminan bahawa kebebasan media akan dipertahankan sekiranya parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih pentadbiran Kerajaan Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya akan memastikan para pengamal media serta pempengaruh diberikan pengiktirafan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka menyampaikan berita secara bebas dan telus.

“Sekiranya PAS dan PN mentadbir Kerajaan Selangor selepas PRU-16 ini, para pengamal media dan para pempengaruh yang berkualiti seperti yang ada di hadapan saya ini akan diangkat prestijnya.

“Selain, dijamin kebebasan untuk melaporkan sebarang berita yang benar dan dilindungi oleh naungan kerajaan yang kita bina bersama kelak,” katanya dalam ucapan Majlis Iftar Bersama Media, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, berkata PAS mengiktiraf peranan penting media dalam membentuk persepsi masyarakat dan memastikan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

“Tanpa sokongan pengamal media dan pempengaruh, PAS dan PN mungkin tidak mampu menafikan kemenangan majoriti dua pertiga Pakatan Harapan di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa PAS dan PN Selangor akan menggerakkan kempen #BaktiDemiSelangor dan ‘Selangor Deserves Better’ secara lebih agresif dalam usaha mendekati rakyat.

“PAS bersama PN Selangor konsisten dan bertekad untuk merampas Kerajaan Selangor dalam PRU-16 yang kemungkinan besar akan berlaku lebih awal daripada kita semua jangkakan,” katanya.

Oleh demikian beliau berkata, PAS berpendirian bahawa hasil kekayaan Selangor itu mesti dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di Selangor sama ada yang berada di bandar dan luar bandar.

“Masalah infrastrukur yang daif dan tidak diselenggara dengan baik, projek sakit Rancangan Tebatan Banjir (RTB), kelembapan pentadbiran dalam menyelesaikan masalah rakyat dan masalah rakyat miskin bandar.

“Selain, polisi berkebajikan yang semakin berkurangan antara isu yang akan diangkat oleh PAS dan PN Selangor dalam perjuangan kami akan datang.

“PAS juga ingin menawarkan kepimpinan inklusif dan berintegriti, amalan tadbir urus yang cekap seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan robotik dalam pentadbiran dan pembangunan negeri, serta mengembalikan polisi yang memberi kebaikan kepada kebajikan rakyat di Selangor,” katanya.

Justeru, PAS dan PN Selangor bertekad untuk membawa perubahan dengan menjamin kebebasan media, meningkatkan tadbir urus negeri, serta memastikan kekayaan Selangor dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. – HARAKAHDAILY 13/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!