SHAH ALAM: PAS Negeri Selangor menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam untuk bersama mempertahankan maruah agama ini.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, titah itu adalah peringatan penting kepada semua agar tidak mengambil ringan isu penghinaan dan mesti memandang serius cubaan memperlekehkan Islam.
“Dalam suasana semasa di mana sentimen terhadap agama sering dimanipulasi demi kepentingan tertentu, PAS Selangor menegaskan bahawa Islam tidak boleh dipermainkan. Dalam negara berbilang bangsa, keharmonian mesti dijaga. Kebebasan beragama tidak boleh disalah guna.
“Justeru, PAS Selangor menggesa tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencabar kesucian Islam. PAS Selangor juga menyeru seluruh umat Islam agar bersatu dalam mempertahankan kesucian agama ini.
“Jangan hanya menjadi pemerhati, tetapi jadilah pembela yang berani bersuara dan bertindak dengan penuh hikmah serta kebijaksanaan,” katanya.
Sultan Pahang dalam titahnya baru-baru ini mengingatkan umat Islam di negeri itu supaya bangkit bersama-sama mempertahan dan melindungi kesucian agama Islam agar tidak diperlekeh sewenang-wenang.
Baginda amat berdukacita mutakhir ini masih ada suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama, mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.
“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau hanya merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Fikirkan bersama,” titahnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!