KUALA LUMPUR: Tumpuan lebih besar perlu diberikan terhadap ancaman Islamofobia yang semakin melebar, berbanding terus terperangkap dalam polemik perbezaan mazhab yang berpanjangan.
Senator Hussin Ismail berkata, perdebatan mengenai isu Sunni, Syiah, dan Wahabi tidak sepatutnya menjadi keutamaan ketika umat Islam berdepan dengan cabaran lebih besar.
“Isu perbezaan mazhab ini sudah lama berlegar, tetapi apa langkah konkrit kerajaan dalam menangani Islamofobia yang semakin teruk?
“Label negatif terhadap Islam, kaitan dengan terorisme ini cabaran yang lebih besar buat umat Islam. Saya fikir, inilah yang sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan,” tegasnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan berkata, isu-isu kecil seperti perbezaan mazhab turut ditangani melalui sesi libat urus dan muzakarah bagi memastikan keharmonian umat Islam di Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!