EDOTCO rapatkan jurang digital, sumbang makmal

Adlan (paling kiri) di samping Nassuruddin menyampaikan sumbangan kepada penerima zakat
- Advertisement -

PASIR MAS: EDOTCO Malaysia menerusi program Zakat Wakalah terus komited dalam merapatkan jurang digital dengan menyerahkan sebuah makmal komputer yang dinaik taraf kepada Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Meranti, di sini.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO, Adlan Tajudin berkata, usaha ini bertujuan memastikan pelajar tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada teknologi yang mampu memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka.

“Makmal komputer ini telah dinaik taraf dengan komputer baharu, projektor serta perabot moden bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa EDOTCO akan menganjurkan sesi perkongsian literasi digital bersama guru bagi membekalkan mereka dengan kemahiran dalam penggunaan bahan pengajaran digital, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih interaktif.

Dalam semangat bulan Ramadan, EDOTCO turut menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga asnaf di kawasan berkenaan sebagai tanda kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa pendidikan digital di negeri ini.

Adlan berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital dan mampu bersaing dalam era globalisasi.

“Inisiatif ini diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak usaha untuk membangunkan generasi berilmu, celik teknologi dan berdaya saing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!