KUALA LUMPUR: Umat Islam hari ini semakin hilang adab terhadap ulama kerana kurangnya penghayatan terhadap peranan mereka, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah.
Beliau berkata, masyarakat kini melihat ulama seperti orang biasa yang duduk di kedai kopi atau berbual kosong di wakaf, tanpa menyedari tahap ilmu dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan agama.
“Berapa ramai hari ini yang benar-benar kenal ulama? Kita tengok ulama macam kita tengok orang biasa yang duduk di kedai kopi, atas wakaf, borak kosong. Kita ingat ulama ini ilmunya lebih kurang dengan kita.
“Sebab apa? Sebab kita dapat maklumat dari Google, dari ChatGPT. Kita rasa kita pun boleh jadi ulama kalau banyak membaca. Kita silap. Ulama bukan begitu. Al-Quran sudah di dada sejak kecil.
“Imam Syafie, umur enam tahun sudah hafal al-Quran. Malam mereka bukan macam malam kita. Kita ada juga tidak tidur, tapi sebab tengok bola. Ulama, pukul tiga pagi mereka sudah bangun, solat, berzikir, bermunajat sampai Subuh.
“Tidak berebut harta, tidak kejar pangkat. Tapi kita hari ini memperlekeh ulama. Kita ingat mereka sama macam kita. Kita tengok mereka dengan mata kosong, tidak kenal siapa mereka sebenarnya,” kata beliau dalam media sosial miliknya.
Amar turut menyoroti sejarah ulama besar yang berhadapan tekanan pemerintah kerana mempertahankan kebenaran dan prinsip Islam seperti Imam Abu Hanifah seorang kaya raya dan bisnes besar, tapi duitnya untuk orang.
“Orang miskin datang ke masjid, dia beri sandal baru. Pakai minyak wangi sampai orang boleh bau dia di tangga masjid. Akan tetapi, beliau tidak tunduk kepada pemerintah yang zalim.
“Ketegasan Imam Abu Hanifah menolak jawatan hakim, menjadikannya sasaran tekanan, sebatan, dan akhirnya pemenjaraan. Beliau menghembuskan nafas terakhir, sama ada akibat racun atau kesan penderaan, hanya Allah yang mengetahui.
“Semua ulama besar dalam sejarah berlawan dengan kerajaan yang zalim. Imam Syafie pernah difitnah dengan dakwaan beliau menyokong gerakan yang merancang menggugat kekuasaan Khalifah Harun ar-Rasyid.
“Akibatnya, beliau ditangkap, dirantai, dan dibawa ke Baghdad. Namun, setelah membela diri dengan hujah yang kuat, Harun ar-Rasyid menyedari ketidakbenaran tuduhan itu dan membebaskannya. Imam Malik pernah dihukum kerana menolak fatwa kerajaan yang mengaitkan ketaatan rakyat kepada pemimpin dengan sahnya talak.
“Selain itu, beliau menolak cadangan untuk menjadikan Muwatta’ sebagai kitab rujukan rasmi negara, dengan rendah hati menyatakan bahawa ilmu Islam tidak terhad kepada satu kitab sahaja dan tidak mahu menutup ruang ijtihad para ulama lain. Keteguhannya berpegang pada prinsip berakhir dengan sebatan.
“Imam Ahmad bin Hanbal disebat dan dipenjara kerana menolak fahaman yang menyatakan al-Quran adalah makhluk. Beliau tetap teguh berpegang bahawa al-Quran adalah kalamullah.
“Ujian ini berlanjutan di bawah pemerintahan al-Mu’tasim dan al-Wathiq. Akhirnya, beliau dibebaskan ketika Khalifah al-Mutawakkil berkuasa, yang menghapuskan pengaruh Muktazilah,” katanya.
Menurutnya, peranan ulama sangat besar dalam menjaga kesejahteraan umat, justeru umat Islam perlu mengenali dan menghormati mereka.
“Itulah ulama. Sebab itu disebut, ‘Zallatul ’alim, zallatul ’alam.’ Gelincirnya seorang ulama, gelincirlah seluruh umat. Sebab itu, ulama kena jaga kata-kata. Orang awam bergantung kepada mereka.
“Hari ini, orang mengata ulama sebab mereka tidak kenal ulama. Mereka hina ulama macam bercakap dengan kawan atas wakaf. Mereka tidak ada adab.
“Professor Syed Naquib Al-Attas pernah kata, umat hari ini hilang adab. Itu punca kerosakan. Adab dengan Nabi tiada, perlekeh hadis. Adab dengan ulama tiada, kritik ikut suka. Adab dengan ibu bapa pun tiada. Sebab itu umat semakin rosak,” katanya.
Mohd Amar turut menyentuh isu penghinaan terhadap Islam yang semakin berleluasa dan sikap umat Islam yang semakin lemah dalam mempertahankan agama.
“Hari ini, orang Islam sendiri hina al-Quran dan Nabi. Ayatollah Khomeini, Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, mengeluarkan fatwa yang menyeru umat Islam untuk membunuh Salman Rushdie dan mereka yang terlibat dalam penerbitan novel ‘The Satanic Verses’ kerana dianggap menghina Islam.
“Fatwa tersebut juga menawarkan ganjaran kewangan bagi sesiapa yang melaksanakan hukuman tersebut. Tapi hari ini, siapa yang berani pertahan agama?
“Iran, yang kita kata Syiah, hari ini lebih berani daripada kita Sunni. Orang Sunni jadi penonton. Orang Islam dibunuh di Palestin, siapa lawan? Iran juga yang bantu pihak yang aktif di sana.
“Kita, Sunni, kita buat apa? Kita boleh umrah tiga kali, boleh baca Yasin malam Jumaat, boleh sambut Maulid. Itu sahajalah Islam kita. Tapi bila ditegur, kita kata orang itu fanatik. Kalau lebih sikit, kena label 3R.
“Kita sudah ‘mati rasa’. Orang hina Islam pun kita diam. Kita hanya fikir, ‘Asalkan aku boleh solat, boleh pergi Makkah, cukuplah.’ Inilah penyakit kita hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!