KUALA LUMPUR: PAS menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam agar bangkit mempertahankan kesucian agama Islam daripada diperlekehkan oleh mana-mana pihak.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai ketua dan pelindung agama negeri, nasihat Baginda itu mencerminkan keprihatinan terhadap situasi semasa yang semakin mencabar kedudukan Islam.
“Harus diingat bahawa Islam adalah Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam masa yang sama kita juga akur bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
“Namun kebebasan beragama ini bukan tiket kepada mana-mana pihak untuk memperlekehkan dan meremehkan kesucian agama Islam dan urusannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka itu, kebelakangan ini semakin banyak pihak secara terbuka mempermainkan kesucian Islam tanpa rasa bersalah.
“Di mana ada pihak-pihak yang semakin hilang hormat dan memperlekehkan Islam. Terbaru penghinaan agama Islam melalui penularan sebuah video Tik Tok oleh Vijayan Savarinathan membuktikan dakwaan ini.
“Lebih menyedihkan tindakan yang bersifat provokatif berkaitan hal ehwal Islam bukan sahaja datang daripada rakyat bawahan, tetapi ia juga datang anggota parti kerajaan yang berjawatan,” katanya.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu turut merujuk kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.
Tambahnya, juga cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk memecahkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada dua.
“Iaitu untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam menyerlahkan ketidakpatuhan mereka kepada Perkara 3(1) Perlembagaan.
“Terdapat banyak lagi tindakan dan kata-kata pihak seperti ini yang dilihat seolah-olah mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam,” katanya.
Sehubungan itu, PAS mendesak Kerajaan Madani bertindak tegas bagi memelihara kesucian Islam dan memastikan keharmonian antara kaum serta agama terus terpelihara.
“Seruan Baginda Tuanku Sultan agar setiap Muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan perlu diberi perhatian semua pihak,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar bertenang serta sentiasa menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dengan mengutamakan sikap hormat-menghormati serta kesedaran untuk menjaga sensitiviti agama masing-masing.
“Bersempena Ramadan ini, marilah kita berdoa agar Malaysia menjadi negara yang Allah sebut sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!