KOTA BHARU: Hasil pertanian diusahakan di Rong Chenok Agro Valley (RCAV), Pasir Mas menjadi produk yang bakal dijual pada harga lebih murah di Pasar Rakyat Kelantan atau Pasar KelAgro.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, satu jualan murah akan diadakan di 10 jajahan selama dua hari.
Beliau berkata, pelaksanaan jualan tersebut dibuat sempena kedatangan bulan Ramadan selain membantu rakyat yang kurang berkemampuan mendapatkan bahan makanan pada harga berpatutan.
“Berita baik kepada rakyat, sempena bulan ramadan tahun 2025, Pasar Rakyat Kelagro buat pertama kalinya diadakan di lima jajahan secara serentak bermula pada 14 Mac dan 15 Mac.
“Barangan basah yang segar dengan harga mampu milik dan barangan dapur yang ditawarkan dengan harga istimewa dengan harga mampu milik,” katanya dalam hantaran Facebook, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu berkata pada 14 Mac hari jumaat Jumaat, Pasar Rakyat Kelagro akan diadakan di Kota Bharu, Machang, Gua Musang, Tumpat dan Jeli.
Manakala pada 15 Mac pula, ia diadakan di Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tanah Merah secara serentak bermula pada jam lapan pagi sehingga 12 tengah hari pada Sabtu.
KelAgro merupakan inisiatif Perbadanan Kemajuan Pertanianan Negeri Kelantan (PKPNK) yang menawarkan jualan lebih murah kerana menerima subsidi harga daripada kerajaan negeri.
Antara agensi kerajaan yang terlibat Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan Negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). – HARAKAHDAILY 12/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!