LONJAKAN penggunaan skim ‘Buy Now, Pay Later’ (BNPL) dalam kalangan anak muda semakin membimbangkan.
Menurut Menteri Kewangan II, jumlah transaksi BNPL meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion, berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.
Tambah beliau, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL dilaporkan aktif, majoritinya golongan berusia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan, manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan tersebut pada masa ini.
Walaupun penggunaan BNPL meningkat, Kerajaan melihat ianya masih terkawal kerana pinjaman BNPL hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah, dengan jumlah tertunggak pada RM82.6 juta, iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL.
Perangkap hutang berlarutan
Dalam perbahasan Belanjawan 2025 yang lalu, saya telah membangkitkan kerisauan terhadap situasi ini yang boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada ekonomi rakyat dalam jangka masa panjang.
Pengguna di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda 21-40 tahun, berisiko terjerumus ke dalam kancah hutang isi rumah yang lebih tinggi akibat kecenderungan menggunakan kemudahan skim BNPL ini.
Tidak seperti kad kredit dan pinjaman peribadi, skim BNPL selalunya tidak memerlukan semakan kredit yang mendalam dan ketat oleh pihak penyedia perkhidmatan.
Daya tarikan model BNPL terletak pada fleksibiliti dan kebolehcapaian, menarik kepada spektrum pengguna yang luas, terutamanya mereka yang tergolong dalam generasi Milenium dan Gen Z, yang banyak terdedah kepada pembelian atas talian.
Kawalan dan perlindungan pengguna
Dalam perbahasan Belanjawan 2025 tempoh hari, saya menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Bank Negara Malaysia dan pihak Kerajaan untuk merangka suatu dasar kawalan yang lebih komprehensif, bagi mengawal selia pelbagai entiti perkhidmatan kewangan atas talian yang semakin kreatif ini, di samping menyediakan peraturan kawalan kredit pengguna yang lebih bertanggungjawab.
Difahamkan draf RUU Kredit Pengguna telah pun dimuktamadkan, dan akan dibahaskan di Parlimen dalam sidang akan datang, bagi mewujudkan satu kerangka pengawalseliaan yang lebih ketat bagi industri pemberi kredit bukan bank, termasuk skim BNPL.
Perkara ini perlu disegerakan
Terpenting adalah aspek kawalan dan perlindungan kepada pengguna, bukannya melindungi pemodal yang dilihat bebas mengaut keuntungan dalam industri hutang yang serba lumayan ini.
Peningkatan ketara skim BNPL mencecah RM7.1 bilion ini menunjukkan ramai pengguna mula bergantung kepada skim ini untuk keperluan harian, dan amat berisiko menjerat golongan muda berpendapatan rendah, khususnya mereka yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan.
Malah situasi keberhutangan rakyat dijangka terus meningkat, selaras dengan peningkatan harga dan kos sara hidup yang bakal ditanggung rakyat, susulan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini – yang berpotensi memberi kesan ke atas pendapatan boleh guna dan keberhutangan rakyat.
Saranan kepada generasi muda, lengkapkan diri dengan pengetahuan pendidikan kewangan yang baik, sentiasa berwaspada dengan perangkap hutang, di samping mengamalkan perbelanjaan berhemah, mencukupkan simpanan dan mengambil pelaburan yang lebih stabil dalam jangka masa panjang.
Isu keberhutangan rakyat adalah tanggungjawab bersama, dan kerajaan hendaklah melindungi kepentingan pengguna, seterusnya menghalang pemodal daripada terus mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan di atas kesempitan pengguna.
SYAHIR SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok
12 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 12/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!