PADANG BESAR: Projek tanaman cili fertigasi di Kampung Chelong, Chuping, yang diusahakan oleh Muhammad Zul Aiman Zulkifli, 21, kini berkembang pesat dengan kapasiti 2,200 polibeg.
Pada mulanya, beliau hanya memulakan projek ini dengan 500 beg, namun dengan usaha gigih dan komitmen penuh, ladang seluas setengah ekar itu kini mampu menghasilkan tuaian sehingga empat tan cili setakat Februari lalu.
Pada waktu itu, harga pasaran cili mencecah RM8 sekilogram, manakala harga terkini boleh mencapai RM10 sekilogram.
Menariknya, ladang ini menggunakan sistem kawalan automatik bagi memastikan kecekapan dalam penyiraman dan pembajaan, sekali gus meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
Lawatan ke ladang tersebut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali Saad, dan Pengerusi Jawatankuasa Belia Negeri, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim, semalam.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Saad Seman, serta Ejen Pengembangan Tanaman Kawasan Mata Ayer, Mohd Izzudin Saffri.

Razali mengucapkan tahniah kepada Muhammad Zul Aiman atas kejayaannya dan berharap pencapaian ini dapat menarik minat lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang pertanian.
Muhammad Zul Aiman sebelum ini bekerja sebagai operator kilang, namun kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada projek cili fertigasi tersebut.
Beliau berupaya memperoleh hasil empat tan cili bernilai RM22,000 dalam tempoh tiga bulan.
Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa anak muda berupaya menjana pendapatan yang lumayan asalkan mempunyai minat dan usaha berterusan. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!