PADANG BESAR: Di saat ramai anak muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan, sekumpulan belia di Kampung Semadong, Beseri membuktikan bahawa pertanian masih relevan dan mampu menjadi sumber pendapatan yang stabil.
Mereka kini giat mengusahakan projek Ladang Benih Padi di kawasan seluas 50 hektar dengan matlamat menghasilkan benih padi berkualiti tinggi, sekali gus membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan benih di Perlis.
Menurut Ketua Unit Kampung Semadong, Che Fariz Che Ya, projek ini membuka peluang kepada anak muda untuk menceburi bidang pertanian dengan pendekatan lebih moden dan sistematik.
“Kami semua geng muda, setiap seorang ada peranan sendiri dalam memastikan ladang ini berjaya. Kalau ada pesawah yang tidak mampu menguruskan bendang mereka, kami akan bantu.
“Termasuk dalam kerja-kerja menabur dan menanggung baja,” katanya ketika sesi turun padang di Kampung Semadong, di sini semalam.
Projek ini melibatkan 42 peserta, majoritinya anak muda yang komited menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya utama mereka.
Ejen Pengembangan Tanaman Kawasan Beseri, Shahrul Mustaqim Zamri berkata, projek ini membuktikan bahawa pertanian bukan lagi bidang kelas kedua, sebaliknya mampu memberi pulangan yang lumayan jika diusahakan dengan betul.
“Musim pertama tahun lepas, kami tanam 90 relung, dan musim kedua berjaya tanam keseluruhan 50 hektar. Semua hasil lulus sebagai benih dan kita harap musim seterusnya juga mencapai kejayaan yang sama,” katanya.

Bukan bidang kelas kedua
Dengan sasaran menghasilkan 1,250 tan metrik atau 62,500 beg benih menjelang tahun depan, kejayaan projek ini diyakini mampu menarik lebih ramai belia untuk terlibat dalam industri pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad berkata, kejayaan ladang benih di Kampung Semadong ini akan menjadi perintis kepada projek ladang benih lain di negeri ini.
Selain Semadong, ladang benih padi akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain seperti Padang Siding, Mata Ayer, Bintong, dan Paya secara berperingkat.
“Projek ini bukan sahaja membantu memastikan bekalan benih padi yang mencukupi, tetapi juga membuka peluang kepada lebih ramai anak muda untuk menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan utama,” katanya.
Beliau bersama Pengerusi Belia dan Sukan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim serta pegawai-pegawai pertanian turut turun padang bagi meninjau perkembangan projek tersebut.
Dengan adanya sokongan kerajaan dan inisiatif seperti ini, anak muda Perlis kini membuktikan bahawa sektor pertanian mampu menjadi pilihan kerjaya yang stabil dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 12/3/2025


Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!