Amalan ‘bailout’ diteruskan, walau ditentang sebelum ini

- Advertisement -

TERPAPAR di muka hadapan akhbar The Edge hari ini, “Sapura Energy gets RM1.1 bilion MOF bailout”.

Perkembangan terbaharu ini pastinya mengejutkan banyak pihak kerana amalan ‘bailout’ ini ditentang hebat oleh parti DAP dan PKR terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad (PM4), termasuklah yang paling lantang menentang ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PM10) ketika pembangkang dahulu.

Malah secara spesifik, cadangan ‘bailout’ terhadap Sapura Energy pernah dikemukakan oleh Dato’ Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak (PM6), dan telah ditentang oleh YB Datuk Mohd Rafizi Ramli pada 2022 yang lalu.

Tindakan ‘bailout’ merujuk kepada usaha menyelamatkan syarikat, institusi kewangan, bahkan negara yang menghadapi masalah hutang yang serius, biasanya dengan suntikan dana daripada kerajaan atau pihak ketiga (GLC), bertujuan untuk mengelakkan kejatuhan yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi atau kestabilan sektor tertentu.

Memetik laporan akhbar The Edge berhubung transaksi ‘bailout’ ini:

“Sapura Energy yang sedang dibebani hutang telah menerima ‘talian hayat’ dalam bentuk suntikan pelaburan RM1.1 bilion daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), melalui anak syarikat tujuan khas iaitu Malaysia Development Holding (MDH). 

“Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada hari Selasa, Sapura Energy menyatakan bahawa MDH akan melanggan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar bernilai RM1.1 bilion, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

“Dana ini diperuntukkan secara eksklusif untuk menyelesaikan hutang Sapura Energy kepada para pembekalnya.”

Terdahulu Permodalan Nasional Berhad (PNB), pemegang saham terbesar Sapura Energy dilaporkan tidak dapat menyuntik modal tambahan ke dalam syarikat tersebut, sehingga memaksa MOF untuk tampil menyelamatkan Sapura Energy.

Untuk rekod, pada 2018, Sapura Energy telah menerbitkan penjanaan modal melalui terbitan hak saham dan saham keutamaan boleh tukar Islamik (RCPS-i) untuk mengumpulkan RM4 bilion. Ketika itu, PNB tampil menyelamatkan syarikat dengan melabur RM2.68 bilion, sekali gus menjadi pemegang saham terbesar dengan pegangan 44.1 .

Justeru timbul persoalan berkaitan aspek tatakekola amalan ‘Bailout Madani’ ini:

i. Apakah rasional dan merit terhadap penyaluran dana awam berjumlah RM1.1 bilion ini kepada sebuah syarikat yang berdepan kerugian dan tidak berdayasaing?

ii. Adakah suntikan pelaburan ini melibatkan dana awam yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2025? – Sedangkan dalam perincian yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Kedua, sejumlah RM7.063 bilion suntikan modal telah diperuntukkan bagi membiayai komitmen kewangan MOF Inc melibatkan beberapa projek dan syarikat.

iii. Adakah tindakan ‘bailout’ ini merupakan keputusan Jemaah Menteri secara konsensus? – Kalangan Menteri daripada parti DAP pastinya terpanggil untuk menjawab persoalan ini kepada Pengerusi DAP, YB Lim Guan Eeng, yang kuat menentang amalan ‘bailout’ sejak kepimpinan Tan Sri Lim Kit Siang.

iv. Adakah YB Rafizi sebagai Menteri Ekonomi bersetuju dengan langkah ‘bailout’ terhadap Sapura Energy kali ini? – Sedangkan YB Rafizi adalah individu yang paling lantang menentang cadangan DS Najib pada 2022.

Sekadar rujukan, diperturunkan di sini laporan berita kenyataan YB Rafizi pada tahun 2022 berhubung cadangan ‘bailout’ Sapura Energy:

Masalah Sapura boleh selesai tanpa guna idea ‘bailout’ Najib – Rafizi.

Rafizi Ramli menyifatkan kemelut kewangan yang dihadapi Sapura Energy Bhd bukan perkara luar biasa dalam dunia perniagaan global dan ia boleh diselesaikan tanpa bergantung kepada bailout kerajaan.

Rafizi berkata kepimpinan Sapura Energy yang baru dilantik terdiri daripada golongan profesional ternama dan dia yakin mereka sedang mencuba yang terbaik untuk memulihkan syarikat tanpa perlu menggunakan dana awam, seperti yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

“Ini bukan masalah yang unik kepada Sapura. Beratus-ratus syarikat gergasi di seluruh dunia telah melalui krisis aliran tunai sebegini sejak 50 tahun yang lepas.

“Jika Najib seorang yang membaca dan mahir dalam pengurusan kewangan, sepatutnya dia pun tahu,” katanya lagi. – (Malaysiakini, 1 April 2022).

Dalam suatu laporan berita lain, YB Rafizi menggesa supaya amalan ‘bailout’ ini dihentikan.

“Pandangan saya semua bentuk ‘bailout’ yang membabitkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak.

“Prinsip ini terpakai kepada semua syarikat korporat, tidak kiralah syarikat korporat itu milik kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat awam yang sahamnya dimiliki dana awam, apatah lagi syarikat korporat biasa,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Ahli-Ahli Parlimen PKR untuk mula menggubal satu rang undang-undang (RUU) yang mengawal selia sebarang suntikan dana awam berbentuk ‘bailout’, untuk dibentangkan di Parlimen, secara RUU persendirian. – (Berita Harian, 6 April 2022)

Sekadar rujukan, ingatan terhadap ucapan terdahulu bagi menjawab persoalan yang berbangkit hari ini.

Apa guna melompat pagar,
Bila kaki awak tersangkut;
Apa guna bercakap besar,
Bila janji tidak diikut.

SYAHIR SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok
12 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 12/3/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!