
TUMPAT: Kerajaan Kelantan tidak menetapkan bilangan rakaat tertentu bagi pelaksanaan solat sunat tarawih pada Ramadan ini, sebaliknya diserahkan kepada keputusan jawatankuasa masjid atau surau masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara tersebut telah diamalkan sejak dahulu dan diteruskan sebagai menghormati kelaziman masyarakat setempat.
“Kita tidak mahu isu bilangan rakaat menjadi polemik. Yang penting, biar Ramadan tahun ini menjadi yang terbaik berbanding tahun-tahun sebelumnya, kerana ia datang hanya sekali setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perkampungan Ramadan di Laman Warisan Kampung Laut, dekat sini petang semalam.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah, ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Menurut beliau, umat Islam perlu memahami keistimewaan Ramadan bukan hanya terletak pada ibadah puasa semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai amalan lain seperti bersedekah, berbuat kebajikan dan memperbanyakkan ibadah sunat.
“Bulan Ramadan ini bukan hanya selesai dengan berpuasa sahaja. Ramadan juga bulan untuk bersedekah, bulan tarawih, bulan kebajikan, bulan untuk memperbanyakkan derma.
“Sebab itu Tan Sri Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dulu tidak benarkan sebut ‘bulan puasa’ tapi sebutlah ‘bulan Ramadan’ kerana banyak perkara perlu dipertingkatkan dalam bulan ini,” jelasnya.
Tambah beliau, ibadat solat amat penting dijaga kerana ia merupakan tiang agama.
“Bermula tahun 2022 hingga 2024 sudah ada 17 kes bunuh diri di negeri ini, malah ada yang sempat diselamatkan. Puncanya pelbagai antaranya putus cinta, tekanan kewangan, dan masalah hutang.
“Tetapi yang paling besar, mereka tidak solat. Solat adalah asas. Jika masyarakat jaga solat, insya-Allah kita boleh hentikan masalah sosial ini,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam supaya tidak hanya menunggu 10 malam terakhir Ramadan untuk beramal ibadat dan baru bersedia kejar pahala.
Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Mohamad Nazwan Ismail berkata, Perkampungan Ramadan ini bukan sekadar program biasa, tetapi turut disusuli dengan pelbagai pengisian rohaniah dan kebajikan sepanjang bulan mulia ini.
Katanya, antara program utama yang akan berlangsung termasuk Tadarus Belia, Haflah al-Quran, Pertandingan Tilawah al-Quran, Program Kongsi Rasa Ramadan, Himpunan Anak Muda Tamu Ramadan dan Majlis Penyampaian Sumbangan Perkampungan Ramadan.
Menurut beliau, pelaksanaan program turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi dan pertubuhan seperti Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat, Pejabat Halaqat Kawasan Tumpat, AADK Tumpat, Kelab Beliawanis Tumpat serta Kelab Anak Muda Tumpat.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada para dermawan yang menyalurkan sumbangan kepada Tabung Perkampungan Ramadan yang akan disampaikan kepada golongan kurang berkemampuan melalui MDT dan Masjid Warisan Kampung Laut sebagai pemudah cara.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Ustaz Asri Mat Daud atas kesudian beliau merasmikan program Perkampungan Ramadan MDT pada tahun ini, serta kepada semua tetamu kehormat yang hadir menyokong usaha murni ini,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat bersama mendoakan keberkatan program yang dilaksanakan demi manfaat masyarakat setempat.
“Marilah kita doakan langkah kecil kita ini mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT dan memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!