Syurga yang dirindukan

- Advertisement -

BAYANGKAN apabila seseorang berkongsi tentang sebuah lokasi yang begitu indah dan menakjubkan, lengkap dengan gambar-gambar yang memukau. Pasti hati kita teruja dan keinginan untuk ke sana membuak-buak.

Jadi, bagaimana pula jika yang diceritakan itu adalah syurga? Destinasi percutian abadi, di mana sesiapa yang sampai ke sana tidak akan pernah merasa sedih atau menyesal. Perbelanjaannya sangat berbaloi, dan setiap ‘pakej’ yang ditawarkan mesra pelancong. Segala maklumat mengenai syurga yang terkandung dalam al-Quran adalah kebenaran mutlak, janji Allah SWT yang tiada keraguan padanya. Pasti hati kita akan membara dengan Iman dan semangat, serta rasa rindu untuk ke sana tak mampu digambarkan dengan kata-kata. Pasti hati kita akan  sangat termotivasi dan keinginan untuk ke sana tidak terungkap dengan kata-kata.

Suatu ketika, Muaz bin Jabal RA menjadi imam solat di masjid kampungnya, Bani Salimah. Dalam solat tersebut, beliau membaca surah al-Baqarah yang panjang. Seorang makmum memutuskan untuk mufaraqah (berpisah dari imam) atas alasan tersendiri. Namun, Muaz menuduhnya sebagai munafik.

- Advertisement -

Apabila perkara ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda memanggil Muaz. Meski Muaz merasa tindakannya betul, Rasulullah SAW tetap menegurnya dengan lembut:

“Wahai Muaz, adakah engkau seorang yang suka menimbulkan kesulitan kepada orang lain? Adakah engkau seorang yang suka menimbulkan kesulitan kepada orang lain? Adakah engkau seorang yang suka menimbulkan kesulitan kepada orang lain? Oleh itu, bacalah surah Asy-Syams, Al-A’la, atau surah lain yang seumpamanya.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 6106 dan Muslim no. 465)

Teguran ini mengingatkan kita bahawa seorang imam perlu mempertimbangkan kemampuan makmum. Kemudahan dalam beribadah adalah keutamaan dalam Islam, bukan sekadar memenuhi kehendak peribadi.

Rasulullah SAW kemudian memanggil lelaki yang mufaraqah itu dan bertanya, “Apakah yang kamu baca dalam solat tadi?”

Lelaki itu menjawab:

“Aku bertasyahhud, kemudian aku berdoa: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon syurga-Mu dan aku berlindung daripada neraka-Mu.’ Sebenarnya aku tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang engkau atau Muaz bacakan.”

Lalu, Rasulullah SAW bersabda:

“Kami juga mengucapkan apa yang kamu katakan (memohon syurga Allah dan berlindung daripada neraka Allah).” (Riwayat Abu Daud, no. 792)

Sekarang, tanyalah diri kita sendiri:

Adakah kita sudah memohon syurga Allah SWT dalam doa dan solat kita? Adakah hati kita benar-benar merindui syurga Allah dan teringin bertemu-Nya di sana?

Hakikatnya, pada akhir zaman ini, amat sedikit golongan yang berlumba-lumba merebut syurga Allah. Memegang agama di zaman penuh ujian ini terasa seperti memegang bara api-panas, perit, dan penuh cabaran.

Namun, biarlah kita menjadi sebahagian daripada golongan yang sedikit itu. Golongan yang tetap teguh berjuang demi meraih reda dan syurga-Nya, meski dunia seakan-akan berpaling.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para Sahabat, bahawa akan tiba satu masa, mereka yang berpegang teguh dengan agama Islam ini berada dalam keadaan yang sukar sehingga mereka disifatkan sebagai menggenggam bara api. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Akan datang satu zaman, mereka yang bersabar (dalam berpegang kepada Agama) adalah seumpama mereka yang menggenggam bara api.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Bahkan di dalam hadis yang sahih, Islam akan dilihat asing, mereka yang berpegang teguh pada ajaran Islam semakin sedikit dan dilihat aneh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Islam bermula sebagai asing (sesuatu yang dianggap asing dan ganjil). Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW menjanjikan ganjaran luar biasa, 50 kali ganda pahala bagi mereka yang tetap teguh berpegang kepada sunnah di akhir zaman. Janji ini menjadi pembakar semangat buat umat Islam untuk terus mempertahankan iman dan amal ibadah walau diuji cabaran zaman. Berpegang kepada sunnah bukan sekadar meraih pahala besar, tetapi juga memastikan mereka kekal sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang dirindui Baginda dan mengimpikan bertemu Allah SWT di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya selepas kamu (akan datang) suatu zaman yang memerlukan kesabaran. Bagi mereka yang berpegang teguh pada agamanya pada masa itu, mereka akan mendapat ganjaran lima puluh syuhada dari kalangan kamu (para Sahabat).” (Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA dalam beberapa kitab hadis, antaranya Sunan Abu Dawud, no. 4341, Sunan al-Tirmidhi, no. 3058, Sunan Ibnu Majah, no. 4014)

Di dunia ini, segala yang kita miliki hanyalah ujian, tetapi di syurga kelak, segala yang kita impikan akan menjadi milik kita sebagai nikmat abadi. syurga adalah hadiah agung bagi mereka yang beramal soleh di dunia, namun hakikatnya tiada seorang pun yang layak memasukinya semata-mata kerana amalannya. Hanya dengan rahmat Allah SWT, kita berpeluang melangkah ke syurga, di mana segala nikmat yang tidak pernah dilihat mata, didengar telinga, atau terlintas di hati manusia menanti sebagai balasan atas keimanan dan ketakwaan kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri. Melihat kepada Tuhannya.” (Al-Qiyamah: 22-23)

“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia,” (Yunus: 26)

Daripada Suhaib RA, bahawa Rasulullah SAW membaca ayat surah Yunus ini lalu bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah SWT berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami daripada api Neraka?” Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah SWT.” (Sahih Muslim (181) dan Sunan Ibn Majah (187))

Selain itu, juga hadis riwayat Jarir bin Abdillah RA yang bermaksud: “Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah SAW dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: “Kalian akan melihat Tuhan kalian sepertimana kalian melihat bulan ini, dan kalian tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.” (Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633))

Oleh kerana inilah Beliau menyeru kepada sekalian Muslimin untuk menjadikan nikmat melihat Allah SWT ini sebagai dorongan utama untuk memasuki Syurga. Nikmat melihat Allah SWT ini merupakan sebesar-besar nikmat berbanding nikmat-nikmat material yang lain. (Rujuk Ihyaa’ Ulum al-Din 4/543)

Salah seorang Sahabat Nabi SAW yang dijamin syurga ialah Anas bin Nadhr dan pernah mencium bau syurga. Beliau ialah bapa saudara kepada Anas bin Malik. Beliau juga salah seorang yang menyertai peperangan Uhud dan syahid dalam peperangan tersebut. Tambahan lagi, beliau termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman, yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Di antara mereka yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Sa‘ad bin Muaz dan Anas bin Malik RA. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 1/230).

Anas bin Nadhr menunjukkan contoh terbaik dalam beramal hanya kerana Allah SWT. Jika mahu ‘riya’’, biarlah ‘riya’’ kepada Allah, bukan untuk manusia. Tunjukkan amal ibadah kita kepada Allah SWT dan serulah dalam doa, “Ya Allah, aku beramal untuk-Mu, lihatlah aku.” Begitulah ikhlasnya Anas bin Nadhr, menyerahkan setiap amal dan perjuangannya sebagai persembahan tulus kepada Allah SWT, membuktikan janjinya hingga gugur sebagai syahid.

Diriwayatkan daripada Anas RA, katanya yang bermaksud: “Bapa saudaraku (Anas bin al-Nadhr) tidak mengikuti perang Badar. Maka beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak sempat mengikutimu pada peperangan pertama menghadapi kaum Musyrikin. Seandainya Allah memberi kesempatan untuk aku menyertai peperangan melawan kaum Musyrikin nescaya pasti Allah SWT akan melihat apa yang akan aku lakukan.” Ketika perang Uhud, kaum muslimin bertempiaran. Beliau (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Ya Allah, aku memohon ampun atas apa yang yang dilakukan oleh mereka itu, yakni para sahabatnya  dan aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh mereka itu – yakni kaum Musyrikin.“ Kemudian dia maju. Setelah itu, Sa’ad bin Mu‘az bertemu dengannya, lalu (Anas bin al-Nadhr) berkata: “Wahai Sa‘ad! Aku inginkan syurga, demi Allah, aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud.” Sa‘ad berkata: “Aku tidak mampu, wahai Rasulullah, untuk melakukan seperti yang beliau lakukan.” Anas bin Malik (perawi) berkata: “Kami dapati pada dirinya ada lebih daripada 80 tetakan pedang, tusukan lembing, atau panahan anak panah. Kami dapati beliau telah disyahidkan dan dipotong-potong oleh kaum Musyrikin. Tidak ada seorang pun yang mengenalinya kecuali saudara perempuannya melalui jari-jemarinya.” Anas berkata: “Kami menganggap – atau menyangka – bahawa ayat ini turun mengenai dirinya,  dan orang-orang lain yang sepertinya: “مِنَ المُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ” (Maksudnya:  dalam kalangan orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.)(Surah al-Ahzab : 23) hingga akhir ayat.” (Riwayat al-Bukhari (2805) dan Muslim (1903))

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam syarahnya menyebut, lafaz “aku benar-benar dapat mencium baunya dari arah bukit Uhud” merupakan ciuman bau yang hakiki, bukannya sekadar khayalan ataupun angan-angan. Ini merupakan karamah bagi Anas bin al-Nadhr RA kerana beliau boleh mencium bau syurga sebelum beliau syahid. (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 2/110).

Apakah syarat mutlak untuk masuk syurga. diantaranya:

  1. Tauhid – لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ

Muaz bin Jabal berkata: Saya pernah bersama Nabi SAW dalam satu perjalanan. Pada satu pagi, saya berada dekat dengan baginda ketika kami sedang berangkat, maka saya bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka?”

Baginda menjawab: “Demi sesungguhnya kamu telah bertanyakan kepadaku sesuatu yang agung dan berat padahal sungguh ia merupakan perkara mudah bagi orang yang telah Allah SWT jadikan mudah baginya, iaitu: Kamu menyembah Allah SWT dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan berhaji ke Baitullah.”

Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? (Pintu-pintu itu adalah) Puasa sunat, ia adalah perisai (daripada api neraka). Sedekah, ia akan memadamkan dosa-dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang pada pertengahan malam.”

Kemudian Baginda membacakan ayat: “Mereka menjauhkan diri dari tempat tidurnya (kerana solat malam), serta mereka berdoa kepada Rabbnya dengan rasa takut (tidak dimakbulkan) dan harap (agar dimakbulkan), dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (al-Sajdah 32:16-17)

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah kamu aku tunjukkan pokok bagi segala perkara agama, tiangnya dan puncaknya?” Saya menjawab: “Tentu wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Pokok bagi (segala) perkara adalah Islam, tiangnya adalah shalat, sedangkan puncaknya adalah jihad.”

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah aku beritahukan kamu dengan sesuatu yang menguasai semua itu?” Saya menjawab: “Tentu wahai Nabi Allah!”

Maka Baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Tahanlah (lidah) kamu ini.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan?” Baginda menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam Neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).” (Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2541/2616)

Tauhid merupakan syarat mutlak untuk masuk Syurga dan merupakan cabang keimanan yang paling tinggi. Orang yang bertauhid hanya menyembah Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan yang sebenar. Rasulullah bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan yakin bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah, dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim: 26)

Menjadi orang baik sahaja tidak cukup untuk masuk ke syurga. Kunci utama ke syurga ialah Tauhid, mengakui hanya Allah SWT sebagai Tuhan yang layak disembah. Jika seseorang melakukan syirik, iaitu menyembah selain Allah SWT atau menyekutukan-Nya, segala amal baiknya di dunia tidak akan berguna. Walaupun manusia melihatnya sebagai orang yang baik, tanpa Tauhid, tempatnya di akhirat tetap kekal di Neraka.

  1. Jangan derhaka kepada ibu bapa.

Jangan sesekali derhaka kepada ibu bapa. Mentaati mereka bahkan dianggap lebih utama daripada berjihad di jalan Allah SWT. Walaupun berjihad dianggap sebagai amalan tertinggi dalam Islam, namun jika ibu bapa memerlukan kita, berbakti kepada mereka lebih diutamakan.

Seperti dalam sebuah hadis, seorang lelaki meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk pergi berjihad. Baginda bertanya, “Adakah ibu bapamu masih hidup?” Lelaki itu menjawab, “Ya.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Kalau begitu, pulanglah dan berjihadlah dengan berbakti kepada mereka.” (Muttafaq ‘alaih)

Ini menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa adalah jihad yang paling mulia di sisi Allah SWT.

Selain itu, berbakti kepada kedua orang tua boleh menjadi sebab seseorang anak dapat memasuki Syurga. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Kedua orang tua itu adalah pintu syurga yang paling tengah (mudah). Jika kalian mahu memasukinya maka jagalah orang tua kalian. Jika kalian enggan memasukinya, silakanlah mensia-siakan orang tua kalian.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini juga menjelaskan berkaitan kewajipan kita berbuat baik kepada ibu bapa serta mentaati perintahnya dalam perkara-perkara yang ma’ruf (perkara yang tidak bertentangan dengan agama). Jelas menunjukkan betapa besarnya kewajipan berbuat baik dan mentaati mereka. Ibu bapa bukan sekadar amanah, tetapi mereka adalah pintu Syurga, jalan menuju reda Allah SWT dan peluang untuk menatap wajah-Nya di akhirat kelak.

Jangan sesekali memandang remeh layanan kita kepada mereka. Setiap kata-kata dan perbuatan kita terhadap ibu bapa akan menentukan sama ada kita mendapat keberkatan hidup atau sebaliknya. Sedikit sahaja hati mereka terluka, kita mungkin akan terjebak dalam dosa yang dimurkai Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah aku khabarkan kepada kalian mengenai dosa-dosa besar yang paling besar?” Baginda mengulanginya tiga kali. Para sahabat menjawab: “Tentu, wahai Rasulullah.” Lalu Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah dan derhaka kepada ibu bapa.” (Muttafaq ‘alaih)

Ramai yang lupa, ibu bapa sepatutnya menjadi keutamaan kita lebih daripada sesiapa pun. Namun, ada yang lebih mementingkan kawan-kawan, kerjaya, atau urusan dunia hingga mengabaikan ibu bapa sendiri. Jangan sampai kita terjerumus dalam dosa besar ini kerana tanpa reda ibu bapa, mustahil untuk kita meraih reda Allah SWT!

Setiap kita ingin melihat wajah Allah SWT dan bagaimanakah caranya

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (Al-Kahfi: 110)

Jika benar-benar ingin bertemu dan menatap wajah Allah SWT, syarat utamanya ialah beriman sepenuhnya kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa mencampurkan iman dengan sebarang unsur syirik. Rasa rindu kepada Allah SWT perlu diiringi dengan doa yang ikhlas. Malah, Rasulullah SAW sendiri telah mengajarkan kita doa khusus untuk memohon nikmat terbesar ini iaitu peluang memandang wajah Allah SWT di akhirat kelak.

اللهم بعلمك الغيب وقدرتك على الخلق أحيني ما علمت الحياة خيرا لي وتوفني إذا علمت الوفاة خيرا لي اللهم وأسألك خشيتك يعني في الغيب والشهادة وأسألك كلمة الحكم في الرضى والغضب وأسألك القصد في الفقر والغنى وأسألك نعيما لا يبيد وأسألك قرة عين لا تنقطع وأسألك الرضى بعد القضاء وأسألك برد العيش بعد الموت وأسألك لذة النظر إلى وجهك والشوق إلى لقائك في غير ضراء مضرة ولا فتنة مضلة اللهم زينا بزينة الإيمان واجعلنا هداة مهتدين

“Ya Allah, dengan pengetahuan-Mu terhadap yang ghaib dan kekuasaan-Mu atas semua makhluk, hidupkanah aku selama Engkau tahu kehidupan itu lebih baik bagi ku, dan matikanlah aku jika Engkau tahu kematian itu lebih baik bagiku. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon rasa takut kepada-Mu di saat sendiri maupun dalam keadaan terang-terangan, aku memohon perkataan yang benar dalam keadaan baik maupun marah, aku memohon kesederhanaan, baik dalam keadaan fakir maupun kaya, aku memohon kenikmatan yang tak akan habis, dan aku memohon penyejuk hati yang tak pernah berakhir. Aku memohon keredaan atas ketetapan-Mu, aku memohon ketenteraman setelah kematian, dan aku memohon kenikmatan memandang wajah-Mu, dan kerinduan bertemu dengan-Mu, bukan dalam kesusahan yang membinasakan dan ujian yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan hiasan iman dan jadikanlah kami termasuk orang-orang yang memberi dan diberi petunjuk.”  (Hadis Riwayat An-Nasai, Ahmad dan lainnya)

Dari seorang Sahabat yang mulia, Shuhaib bin Sinan RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“...Tidak ada satu pun kenikmatan yang lebih kami cintai dari memandang wajah Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim no. 181)

Perbanyakkanlah membaca doa-doa ini dengan penuh harap dan keikhlasan. Moga-moga Allah SWT mengampuni segala dosa kita dan memberi peluang untuk bertemu dan menatap wajah-Nya di syurga yang dirindui. Jangan pernah jemu berdoa, teruskan merintih dan memohon, kerana doa yang tulus dari hati tidak akan pernah sia-sia di sisi-Nya

Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (al-Ghafir: 60)

Semoga bermanfaat.

Wallahu’alam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 11/3/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!