
KUANTAN: Projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram yang telah diluluskan sejak 2014 dengan peruntukan kira-kira RM14 juta masih belum direalisasikan, meskipun kerja tanah telah dimulakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Dato’ Andasura Rabu berkata, kelewatan projek tersebut menimbulkan tanda tanya kerana enam sekolah lain yang diluluskan pada tahun sama telah siap dibina.
“Saya difahamkan projek ini telah diluluskan pada tahun 2014 dengan peruntukan kira-kira RM14 juta. Hanya kerja tanah yang telah dilaksanakan, namun kemudiannya ia dihentikan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan aktivis masyarakat India dikenali sebagai Sarawanan yang membentangkan dapatan serta usaha telah dilakukan untuk memperjuangkan nasib sekolah berkenaan.
“SKJT Ladang Jeram ketika ini beroperasi dalam kabin atau kontena di satu kawasan yang terhad di Damansara, Kuantan, serta kemampuan yang terbatas untuk menerima ramai pelajar,” katanya.
Menurut Andasura, maklumat terkini menunjukkan kemungkinan terdapat isu berbangkit berkaitan status tanah yang menyebabkan projek itu tidak dapat diteruskan.
“Saya sendiri tidak mempunyai maklumat yang jelas berkenaan projek tersebut sebelum ini. Apa yang dibentangkan oleh beliau agak mengejutkan saya.
“Maklumat terkini yang diperolehi beliau, projek tersebut mungkin ada perkara berbangkit berkaitan status tanah,” jelasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.
Beliau turut meluahkan rasa kagum dengan daya usaha berterusan yang dilakukan oleh Sarawanan dan sahabat-sahabatnya berkaitan pendidikan untuk anak-anak masyarakat kaum India.
“Mereka telah berjumpa pelbagai pihak di peringkat negeri dan persekutuan bagi membuat susulan.
“Mereka perlu diberi sokongan dan insya-Allah saya cuba usahakan atas kapasiti saya untuk mengetengahkan perkara ini dan mendapatkan kata putus mengenainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!