PH-BN gabungan ‘berasid’, hakis kepercayaan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) diibaratkan sebagai ‘pakatan berasid’ kerana tindakan mereka yang semakin menghakis kepercayaan rakyat dalam menjaga keharmonian negara.

Pengarah Penyelidikan, Yayasan Strategik Lestari, Dr Mukhtaruddin Musa berkata, rakyat kini melihat wujudnya sikap ‘double standard’ dalam pentadbiran kerajaan, berbeza dengan perjuangan mereka ketika menjadi pembangkang sebelum ini. 

“Pada suatu masa, mereka berteriak malah berguling-guling atas jalan raya menarik perhatian dunia luar, seolah-olah pembangkang ketika itu tidak menerima keadilan. Namun kini, merekalah yang bertindak bertentangan dengan perjuangan mereka ketika menjadi pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan. 

PH-BN berat sebelah

Menurut Dr Mukhtaruddin, kegagalan Kerajaan Madani untuk bersikap adil bukan hanya melibatkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, malah turut memberi kesan kepada negeri-negeri diperintah parti yang tidak sealiran dengan Kerajaan Pusat.

Beliau merujuk kepada isu-isu seperti royalti petroleum yang belum selesai, pembangunan Lapangan Terbang Kulim (KXP) dinafikan, serta penangguhan Notis Perubahan (NOC) untuk Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park (KHTP) tertangguh hampir setahun. 

“(Ini) Bukti Kerajaan MADANI pimpinan PH tidak bersikap adil terhadap rakyat,” katanya turut mengkritik tindakan Menteri Dalam Negeri yang disifatkan sebagai angkuh dalam menjawab gesaan Setiausaha Agung PAS berkenaan gesaan tindakan segera terhadap pihak pencetus isu sensitif berkaitan agama dan bangsa. 

“Hakikatnya, banyak kenyataan yang bersifat provokatif bukan hanya dari rakyat bawahan, tetapi ia juga datang anggota parti kerajaan yang berjawatan.

“Mereka sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam,” katanya. 


Undang-undang tidak dilaksana secara adil

Dr Mukhtaruddin berkata, Menteri Dalam Negeri sepatutnya menyambut baik saranan PAS, tetapi sebaliknya bertindak angkuh dan memberi gambaran seolah-olah mereka boleh bertindak sesuka hati. 

“Mengugut dengan berkata ramai pemimpin pembangkang akan dikenakan tindakan jika undang-undang 3R (agama, raja dan kaum) dikuatkuasakan, jelas menunjukkan undang-undang ini hanya terpakai kepada pembangkang, bukan anggota parti kerajaan,” katanya. 

Beliau turut menegaskan bahawa teguran PAS bukan sekadar pandangan parti itu, tetapi mewakili suara hati rakyat yang melihat bagaimana pemimpin Kerajaan Madani tidak dikenakan tindakan walaupun melanggar batas sensitiviti umat Islam. 

“Semakin lama, rakyat yang mungkin terpesona dengan ucapan berdegar-degar semakin hilang keyakinan terhadap PMX dan ayam sabung yang semakin tumpul kukunya seperti Abg Md Sabu serta Rafizi,” katanya.

Hipokrasi dan fitnah berterusan

Beliau juga mempersoalkan kredibiliti kerajaan yang sering bercakap mengenai menghentikan fitnah, tetapi dalam masa sama, mereka sendiri terlibat dalam penyebaran maklumat tidak benar. 

Sebagai contoh, beliau membangkitkan isu seorang ahli PKR yang mendakwa Kerajaan apusat mengagihkan peruntukan projek tebatan banjir kepada Ahli Parlimen pembangkang. 

“Dakwaan beliau bahawa peruntukan Kerajaan Pusat bagi projek tebatan banjir diagihkan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang tidak mendapat peruntukan menjelmakan sikap bebal dan tidak cerdik beliau terhadap prosedur kerajaan.

- Advertisement -

“Sehingga kini, belum lagi ada parti kerajaan ini mohon maaf atas kesilapan fakta mereka,” katanya. 

Defisit kepercayaan terhadap kerajaan

Dr Mukhtaruddin menyimpulkan bahawa kerajaan hari ini mengalami defisit kepercayaan yang teruk, terutamanya dalam kalangan rakyat Melayu-Islam. 

“Mungkin sebahagian rakyat yang kurang celik berkenaan isu politik, tidak ambil kisah tentang urusan pentadbiran. Namun majoriti rakyat yang beragama Islam sangat sensitif tentang urusan agama serta fitnah yang dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat sudah muak dengan nasihat kerajaan supaya menghentikan fitnah, sedangkan parti kerajaan sendiri yang terus menyebarkan fitnah, termasuk dalam bulan Ramadan. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!