KOTA BHARU: Kerajaan negeri menerusi Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita mula membuka permohonan Skim Bantuan Pesakit Kanser Payudara 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, skim yang diperkenalkan 2024 itu menjadi satu lagi agenda kebajikan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya juga sedar peningkatan kes kanser setiap tahun di negeri itu berpunca daripada tahap kesedaran mengenai kesihatan yang rendah dalam kalangan penduduk
“Borang boleh dihantar kepada Pusat Khidmat DUN masing-masing sebelum tarikh tutup permohonan untuk Skim Bantuan Pesakit Kanser Payudara Kelantan adalah pada 30 April 2025.
“Skim ini sebagai tanda kerajaan negeri cakna dan peka ujian dan kesukaran dialami pesakit dengan memberikan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM 1,000,” katanya dalam satu hantaran hari ini.
Kerajaan negeri sebelum ini dilapor memperuntukkan RM500,000 untuk program berkaitan kanser payudara termasuk advokasi, seminar kesihatan, kempen kesedaran dan skim bantuan.
Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan satu daripada 18 wanita di negara ini berisiko menghidap kanser dengan 43 peratus dikesan pada tahap lanjut.
Borang permohonan skim itu diperolehi di Tingkat 2, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hamzah di sini, atau muat turun di laman sesawang https://bit.ly/BorangKanserPayudara2025.
Permohonan itu terbuka semua warganegara bermustautin di Kelantan, pendapatan isi rumah kurang RM5,000, disahkan mengidap penyakit serta sedang menjalani rawatan di hospital diakui kerajaan. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!