KUALA LUMPUR: Percepatkan kelulusan projek pemulihan hakisan pantai di Terengganu serta pertimbangkan peruntukan tambahan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan sebelum lebih banyak infrastruktur mengalami kerosakan.
Senator Che Alias Hamid berkata, tindakan segera amat diperlukan bagi mengelakkan hakisan pantai terus memburukkan keadaan, sekali gus menjejaskan kemudahan awam serta kediaman penduduk.
“Bagaimanakah Kerajaan Pusat memastikan kerjasama yang erat dan berkesan dengan Kerajaan Negeri Terengganu dalam pelaksanaan projek pemulihan pantai sepanjang pantai negeri ini?
“Dan adakah Kerajaan Pusat akan mempercepatkan kelulusan projek-projek berkaitan pemulihan hakisan pantai atau menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan sebelum lebih banyak infrastruktur rosak?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kerajaan komited menangani isu hakisan pantai serta menekankan perlunya kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Malahan, apa yang saya cadangkan, jika kita lihat cabaran dalam menjalankan program atau projek yang merangkumi aspek fizikal dan kajian, dalam masa yang sama perlu ada interaksi dengan masyarakat setempat untuk memastikan projek ini berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam soalan asal, Che Alias meminta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air menyatakan penyelesaian jangka masa panjang bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang kini mengakibatkan kerosakan jalan-jalan pesisir pantai di negeri Terengganu serta apakah status bantuan permohonan di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) mampu menyelesaikan isu ini. – HARAKAHDAILY 11/03/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!