Menteri Besar Kedah rai 450 sukarelawan kampung

- Advertisement -

PADANG SERAI: Seramai 450 sukarelawan kampung dan masyarakat, diraikan pada majlis sumbangan dan berbuka puasa yang diadakan di Masjid Jamek Nurussaadah, Taman Sejahtera, Lunas, di sini semalam.

- Advertisement -

Sumbangan kepada sukarelawan berkenaan yang terdiri daripada guru-guru Al-Quran dan fardu ain kampung, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah dan bidan kampung.

Termasuk juga kepada muallaf dan lain-lain yang telah disempurnakan penyampaian sumbangan tersebut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sumbangan tahunan setiap kali Ramadan itu merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada golongan terbabit yang memberi khidmat bakti kepada masyarakat tanpa mengira waktu.

Sanusi pada ucapannya berkata, khidmat mereka bukan sahaja memenuhi tuntutan kepada masyarakat, tetapi secara tidak langsung memenuhi tuntutan fardhu kifayah.

Malah ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, khidmat diberikan oleh golongan terbabit tanpa batasan dan tidak mengharapkan bayaran tertentu.

Majlis penyampaian itu turut disertai ADUN Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN Lunas, Khairul Anuar Ramli serta Ahli Parlimen Padang Serai, Dato’ Azman Nasrudin.

Selain itu juga hadir adalah ADUN Kulim, Wong Chia Zhen yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim.

Selain Pegawai Daerah Kulim, Mohd Zaini Ramli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dato’ Elmi Yusoff.

Sumbangan kepada sukarelawan kampung dan masyarakat ini telah dipelopori oleh bekas Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di era pentadbirannya 2008-2013.

Malah ia juga merupakan cetusan idea Almarhum sebagai inisiatif menghargai peranan sukarelawan itu terhadap penduduk kampung dan masyarakat di setiap  daerah.

Sumbangan dahulunya yang dimulakan kepada guru Al-Quran dan bidan kampung, diteruskan hingga ke hari ini dengan mempelbagaikan lagi kategori penerima.

Antaranya seperti penggali kubur, juru mandi jenazah, mudim dan lain-lain termasuk golongan muallaf yang bermula tahun lepas. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!