Gaji RM3,500 di Selangor tidak jamin hidup selesa

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kos sara hidup di Selangor kini berada pada tahap membimbangkan apabila gaji RM3,500 sebulan tidak lagi menjamin kehidupan yang selesa bagi penduduknya.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, angka yang disebut dalam Khutbah Jumaat bertajuk ‘Sentuhan Ramadan dalam Zakat Fitrah’ pada 7 Mac lalu adalah isyarat jelas bahawa kos sara hidup di Selangor telah melepasi tahap kritikal.

“Bayangkan, dalam negeri yang dikatakan paling maju di Malaysia, masih ada keluarga yang bergelut untuk menampung keperluan asas. Bukan kerana mereka malas, tetapi kerana kos hidup meningkat jauh lebih cepat daripada kenaikan gaji.

“Realitinya, dengan gaji sebanyak RM3,500 sebulan, ramai isi rumah di Selangor terpaksa hidup dalam keadaan cukup-cukup makan. Separuh pendapatan habis untuk sewa rumah, harga makanan terus melambung.

“Perbelanjaan anak sekolah semakin menekan dan bil utiliti serta kos pengangkutan menjadi beban tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, lebih membimbangkan adalah apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan bilangan keluarga asnaf di Selangor akan mencecah 157,000 menjelang 2030.

“Jika hal ini berterusan, apakah masa depan untuk generasi akan datang? Gaji yang dahulu mencukupi kini tidak lagi memberi jaminan kehidupan yang stabil.

“Bantuan kewangan yang diberikan hanyalah penyelesaian sementara, sedangkan rakyat memerlukan solusi jangka panjang untuk keluar dari belenggu kemiskinan moden ini.

“Sebagai negeri yang menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) tertinggi negara, rakyat Selangor tidak sepatutnya hanya sekadar cukup makan.

“Mereka berhak kepada kehidupan yang lebih baik, lebih terjamin, dan lebih bermaruah. Selangor deserves better,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!