PADA zaman dahulu, manusia sering berpecah-belah kerana masing-masing merasa bangga dengan kelompok sendiri. Setiap pihak berpegang kepada pendapatnya sendiri tanpa kembali kepada asas yang sebenar. Begitulah juga yang berlaku dalam kalangan umat akhir zaman, apabila mereka tidak berpegang sepenuhnya kepada ajaran al-Quran dan sunnah.
Sejarah mencatatkan bahawa perpecahan ini mula berlaku secara besar-besaran pada zaman pemerintahan Sayyidina Uthman. Ketika itu, ada sebahagian orang Islam yang memberontak dengan menyerang Madinah. Akhirnya, mereka membunuh khalifah yang mulia ini. Sejak peristiwa itu, para ulama menyebut bahawa zaman tersebut adalah permulaan kepada fitnah besar dalam umat Islam. Fitnah ini kemudian berlarutan dan menjadi punca kepada banyak perpecahan dalam sejarah Islam.
Pada zaman pemerintahan Sayyidina Ali, fitnah semakin membesar. Berlaku peperangan antara beliau dengan Sayyidatina Aisyah, Talhah, dan Abdullah Az-Zubair dalam peristiwa yang dikenali sebagai Waq’atul Jamal atau Peperangan Unta. Peristiwa ini dinamakan demikian kerana Sayyidatina Aisyah ketika itu berada di atas seekor unta semasa pertempuran berlaku.
Setelah itu, Sayyidina Ali berdepan pula dengan Muawiyah, salah seorang gabenornya yang menuntut bela atas kematian Sayyidina Uthman. Peperangan besar yang dikenali sebagai Perang Siffin pun berlaku. Banyak nyawa yang terkorban, dan sejak dari situ, umat Islam terus berpecah-belah sehingga ke hari ini. Dalam persoalan feqah dan akidah, masing-masing membentuk kumpulan sendiri dan kadangkala menolak pandangan pihak lain.
Allah berfirman dalam surah al-Mukminun, bahawa orang yang sesat dibiarkan tenggelam dalam kesesatan mereka sehingga tiba waktunya. Ayat ini asalnya ditujukan kepada orang bukan Islam yang menentang Nabi, tetapi jika dalam kalangan umat Islam sendiri ada yang taksub dengan pegangan masing-masing tanpa mahu merujuk kembali kepada al-Quran dan sunnah, mereka juga akan hanyut dalam kesesatan. Ulama menyebut mereka sebagai golongan yang menyeleweng.
Nasib orang bukan Islam di akhirat telah jelas, tempat akhirnya adalah neraka. Tetapi bagi orang Islam yang tersilap jalan, mereka masih ada peluang kembali kepada kebenaran. Oleh itu, janganlah kita bersikap taksub dalam perkara feqah atau mazhab. Jika kita berpegang kepada mazhab Syafie, peganglah dengan penuh keyakinan, tetapi jangan memperlekehkan mazhab lain. Setiap ulama ada hujah dan dalilnya sendiri. Mereka yang mencapai tahap ijtihad berhak berpegang kepada pendapat mereka, dan jika mereka benar dalam ijtihadnya, mereka mendapat dua pahala. Jika tersilap, tetap ada ganjaran satu pahala.
Dalam perkara feqah, perbezaan pendapat adalah hasil ijtihad para ulama. Dalam persoalan akidah pula, kita perlu lebih cermat. Jangan mudah menjatuhkan hukum sesat, menyeleweng, atau kafir ke atas orang lain. Para ulama besar pun berhati-hati dalam hal ini, sekurang-kurangnya mereka hanya mengatakan seseorang itu sesat, bukan kafir. Malangnya, pada zaman ini, ada segelintir yang terlalu mudah mengeluarkan seseorang daripada Islam hanya kerana perbezaan kecil. Inilah fitnah yang perlu kita elakkan agar kita tidak tergelincir dari jalan yang benar.
DATO’ SRI AMAR D’RAJA MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 10/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!