JOHOR BAHRU: Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Negeri Johor telah melaksanakan penyampaian sumbangan beras ke lima kawasan parlimen negeri ini iaitu Muar, Parit Sulong, Sri Gading, Pontian dan Mersing.
Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin melakukan serahan kepada Yang Dipertua PAS Kawasan-kawasan tersebut yang disempurnakan hasil kerjasama antaranya Dakapan Kasih Johor, Pertubuhan Kebajikan Prihatin Rakyat serta dermawan.
“Setiap butiran sumbangan yang disalurkan mencerminkan nilai kasih sayang dan kepedulian terhadap masyarakat yang memerlukan. Dalam keberkatan bulan Ramadan Al-Mubarak, kita bersyukur atas peluang untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.
“Semoga setiap penyumbang dikurniakan ganjaran berlipat ganda, dan penerima manfaat, khususnya golongan asnaf, dapat merasakan nikmat hasil daripada bantuan ini.
“Lajnah Kebajikan komited untuk terus mengumpul dan menyalurkan bantuan, bukan sahaja kepada lima Parlimen utama, tetapi juga kepada DUN-DUN (Dewan Undangan Negeri) terpilih yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan itu.
Mesyuarat PAS Johor kali ini juga maklumnya turut menjadi platform dalam mengatur penyampaian sumbangan secara rasmi sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini dan menandakan komitmen berterusan dalam usaha kebajikan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat dalam menjayakan misi ini. Semoga usaha ini menjadi amal jariah yang berkekalan dan membawa keberkatan kepada semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!