UMNO Terengganu – They are very stupid dan Umno yang lulus PAS buat program parti dalam masjid.
Dia ‘deserve to loss because they are very stupid‘. Itulah perkataan yang dikatakan keluar dari mulut mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir pada sekitar tahun 2000 dahulu. Umno cuba menyalahkan PAS kerana dikatakan menghalang pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dari hadir ke program politik mereka.
Ia berkenaan tindakan Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Ismail Said yang mengeluarkan surat arahan kepada SUK Terengganu bawah pentadbiran PAS supaya mengerahkan pegawai-pegawai Kerajaan Terengganu ke program penerangan Umno. Sila rujuk handsard DUN Terengganu bertarikh 7 Disember 2000.
Hari ini Umno Terengganu kelihatannya masih tidak dapat keluar dari pemikiran premis kerajaan adalah hak mereka, bagai duit pembinaan itu, daripada mereka. Maka apabila rancangan mereka mahu menggunakan masjid dengan dipenuhi ahli Umno bagaikan program parti, kemudiannya disekat, Umno menyalahkan PAS sebagai menggunakan kuasa untuk menghalang mereka. Ini sudah kita jelaskan.
Kemudian ada ramai penyokong Umno merujuk program yang dibuat oleh Pemuda dan Muslimat PAS di dalam beberapa buah masjid. PAS boleh, Umno tidak boleh, kata mereka, marah. Mereka begitu yakin menyebar, konon tempelak mereka itu sangat berbisa mendiamkan PAS tanpa mereka tahu bagaimana sistem pentadbiran masjid di Terengganu berjalan.
Untuk makluman, PAS ada premis masjid mereka sendiri di mana wakaf kepada masjid itu, tidak diberikan 100 peratus kepada MAIDAM, hanya bangunan masjid sahaja. Sedangkan tanah, kekal dimiliki tuan tanah. Maka dengan itu, tuan tanah juga ada hak dan kebenaran berkenaan program yang berjalan di dalam masjid itu.
Antara masjid yang berstatus begitu ialah Masjid al-Furqan di Chendering dan juga Masjid Rhu Muda. Kedua-dua masjid ini dijaja dalam poster sebaran Umno, konon PAS menggunakan masjid untuk politik, satu oleh Pemuda dan satu lagi oleh Muslimat. Sila rujuk jenis-jenis wakaf dalam Enakmen Wakaf Terengganu 2016, yang dibuat dan diluluskan Umno.
Dengan kebenaran tuan tanah yang berhak sebagai pewakaf untuk mengimarahkan masjid, maka mereka boleh menjemput sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai untuk menjalankan program kebajikan di dalam masjid tersebut.
PAS sebelum menjadi kerajaan telah menggunakan masjid-masjid PAS ini untuk diimarahkan dengan kebenaran tuannya. Dan sebagaimana kita tahu, ahli-ahli PAS ramai yang disekat dari menerima bantuan terutama ketika musim perayaan. PAS yang sentiasa peka dengan kebajikan ahlinya, mencari dana bagi membantu dan mengagihkannya di masjid-masjid ini untuk keberkatan.
Jadi peraturan menggunakan masjid-masjid di Terengganu adalah berdasarkan kebenaran MAIDAM dan pewakaf, berdasarkan perjanjian. Sesiapa sahaja dari ahli politik yang mahu melaksanakan program kebajikan contohnya, dialu-alukan. Tetapi bukan buat program itu menjadi program parti kalau di masjid milik penuh MAIDAM. Kalau masjid PAS, tak apalah. Zahid ke Anwar ke, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi ke, semua boleh menggunakan masjid.
Bagaimana Umno Terengganu tidak kenal mana satu masjid kepunyaan PAS? Teruk sangat tu. Nak berlawan dengan musuh, musuhpun kau tak kenal. Kemudian bodohkan budak-budak suruhan mereka supaya jaja poster PAS buat program dalam masjid PAS? Bodoh tahap kronik. Ada beberapa buah lagi masjid PAS yang sama status dengan kedua masjid ini. Harap Umno ‘study’ sikit, cari sendiri mana satu masjid PAS yang lain.
Sebelum saya akhiri pembuktian kebodohan Umno Terengganu ini, ada satu lagi tuduhan kurang akal yang mendakwa masjid PAS, sebagai masjid dhirar. Dhirar apa ke jadahnya kalau Umno sendiri yang lulus?
Nota: Saya rasa ramai yang keliru, saya bukan Cikgu Mohd Nasir Abdullah dari Kuala Berang. Saya individu lain dan tidak pernah menjadi cikgu. Tolong periksa profail dahulu sebelum serang, supaya kelihatan cerdik, walaupun sebenarnya tidak cerdik.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 10/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.





Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!