Lebuh raya beri manfaat kepada pengguna, pihak industri

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembinaan lebuh raya bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna jalan raya tetapi membawa impak besar kepada industri di sepanjang laluan tersebut.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Senator Abdul Nasir Idris meminta penjelasan Menteri Kerja Raya mengenai langkah yang diambil bagi menguruskan akses keluar masuk ke kawasan perindustrian.

“Bagaimana kementerian memastikan projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna jalan raya tetapi juga kepada industri di sepanjang laluan tersebut?

“Apakah langkah-langkah untuk menguruskan akses keluar masuk ke kawasan perindustrian bagi menjamin kelancaran logistik tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata permohonan perlu dibuat terlebih dahulu untuk cadangan pembinaan empat lorong dari Baling ke sempadan Gerik.

“Jadi untuk menjadikan empat lorong dari Baling ke sempadan Gerik itu perlulah dipohon, yang ada sekarang ini adalah dari sempadan Baling ke Gerik, itu sudah ada,” katanya.

Dalam soalan asal, Abdul Nasir meminta Menteri Kerja Raya menyatakan perancangan kementerian untuk meneruskan kesinambungan kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT004 sehingga ke daerah Baling seterusnya meliputi keseluruhan laluan FT004 sehingga ke Gerik, Perak. – HARAKAHDAILY 10/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!