KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah meneruskan tradisi tahunan berbuka puasa bersama rakyat sempena Ramadan tahun ini.
Pada tahun keempat tradisi ini, beliau bersama JPKK Kampung Pak Pa berkunjung ke rumah seorang penduduk, Ahmad Abd Rahman yang dikenali ramai terutama dalam kalangan pelanggan Bank Rakyat di Chabang Tiga.
Dalam majlis berbuka puasa itu, Wan Sukairi membawa hidangan nasi beriani ayam goreng serta minuman, sementara pihak tuan rumah hanya perlu menyediakan pinggan dan cawan.
“Saya sangat menyukai cara ini kerana ia memberi peluang untuk merasai pengalaman berbuka puasa di rumah rakyat. Ia bukan sahaja satu cara meraikan mereka, tetapi juga meninggalkan kenangan manis buat tuan rumah serta diri saya sendiri.
“Pengalaman saya sebelum ini bila turun berbuka di rumah penduduk, saya bukan sahaja dapat menikmati juadah bersama mereka, tetapi juga berpeluang melihat sendiri jika ada dalam kalangan ahli keluarga mereka yang kurang sihat dan memerlukan bantuan,” katanya.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, sebanyak 12 rumah akan dikunjungi sepanjang bulan Ramadan ini dengan keutamaan diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan dan yang mempunyai anak ramai.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Pa, Jafri Mohamad.
Sebelum berbuka puasa, Wan Sukairi meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 50 penduduk kampung, sambil bertanya khabar dan mengagihkan kuih-muih sebagai juadah berbuka.
Beliau berharap program seumpama itu dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memberi peluang untuk memahami lebih dekat keperluan serta permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
Sementara itu, Ahmad Abd Rahman berasa terharu kerana ini merupakan pengalaman pertamanya menerima kunjungan seorang wakil rakyat untuk berbuka puasa di rumahnya.
“Saya tidak pernah menyangka Yang Berhormat (YB) sudi datang ke rumah kami untuk berbuka puasa. Bila dimaklumkan tentang perkara ini, saya dan keluarga sangat mengalu-alukan kehadiran beliau.
“Saya juga terkejut apabila diberitahu bahawa kami tidak perlu menyediakan apa-apa juadah kerana semuanya telah disediakan termasuk makanan dan minuman,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!