RAMADAN sentiasa diimarahkan bukan hanya dengan memperbanyakkan amal ibadah, bertadarus Al-Quran dan menunaikan solat tarawih, malah tidak sunyi dengan program kebajikan dan lain-lain.
Setiap kali bulan penuh kemuliaan ini, antara aktiviti rutin dilaksanakan PAS di semua peringkat adalah sumbangan Ihya Ramadan yang bersemarak di seluruh negeri Kedah.
Selain kurma yang semestinya menjadi pilihan apabila berbuka puasa, barangan keperluan harian juga disertakan, selain sumbangan Beras Sejahtera diagihkan sebelum Ramadan lagi.
Antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan yang juga Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin menyediakan 12,000 pek berupa kurma dan beras pulut untuk diagihkan kepada seluruh kediaman di DUN berkenaan.
Sementara aktiviti yang sama dilakukan oleh ADUN Sungai Limau, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat kepada 105 penerima melibatkan tujuh kampung iaitu Batu 17, Sungai Baru Batu 18, Kampung Kepala 20/20, Setiajaya, Batas Baru, Kampung Kubang Pasu dan Selekoh Tengah.

Begitu juga di DUN Merbau Pulas, seramai 200 penerima dari Mukim Karangan menerima sumbangan Ihya Ramadan dan juga Beras Sejahtera disampaikan Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali yang juga Exco Kerajaan Negeri, pada majlis diadakan di Masjid Batu Puteh.
Kemeriahan menyambut Ramadan juga dikongsi nikmat bersama 78 keluarga di DUN Kuala Nerang apabila bukan sahaja menerima sumbangan Ramadan tetapi juga bantuan pasca banjir yang melanda pada November 2024 lalu.
Setiap keluarga menerima wang tunai dan pek makanan yang disampaikan oleh ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria yang juga Exco Kerajaan Negeri.

Penduduk kurang berkemampuan sekitar DUN Gurun juga tidak ketinggalan, di mana seramai 160 menerima agihan sempena Ramadan ini disampaikan ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) beliau.
Begitu juga dengan ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari, yang bukan sahaja menyampaikan sumbangan kepada penerima, sebaliknya hadirin juga berpeluang mendengar kupasan ilmu diadakan.
Ahli penal terkemuka iaitu Ustazah Noni Mat Din, Ustaz Aiman Nasir dan moderatornya, Husna Hashim mengisi Forum Istiqbal Ramadan yang diadakan di D’Villa Auni, Simpang Empat.
Sementara itu, di DUN Jeneri yang diwakili oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebanyak 18 masjid dan 62 surau menerima sumbangan air mineral serta kurma.
Majlis penyerahan diadakan di PKWR DUN tersebut dan sumbangan disampaikan oleh Pegawai Khas beliau, Badrul Hisham Abdul Rahman mewakili Sanusi.
Tidak kurang hebatnya, ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria juga sibuk turun ke lapangan menyampaikan sumbangan sama ada dihantar oleh beliau ke rumah penerima, termasuk juga penyerahan di masjid.


Begitu juga dengan ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Su Die, mengagihkan bubur lambuk di sekitar Kampung Tong Pelu dan menyampaikan sumbangan sempena program Ziarah Kasih di kampung berkenaan.
Sementara ADUN Bukit Selambau, Ustaz Azizan Hamzah pula, meraikan 92 anak yatim pada majlis penyerahan baucer membeli pakaian raya di sebuah pasar raya di sini.
Sumbangan tersebut juga merupakan kerjasama bersama Amalnita Yayasan Amal Malaysia (YAM) Negeri Kedah.

Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid juga ketinggalan menyemarakkan Ramadan tahun ini dengan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.
Bertempat di Markas PAS Padang Terap, seramai 100 asnaf diraikan dengan bantuan pek makanan sumbangan Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking (PKIMB).
Dalam pada itu, di Kawasan Pokok Sena, sempena program Kasih Ramadan, golongan kurang berkemampuan sekitar DUN Bukit Pinang, menerima sumbangan.
Majlis yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Bukit Pinang itu, turut disertai Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya. – HARAKAHDAILY 9/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!