
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang merangka kajian bagi meneliti kaitan antara tahap jumlah rakyat yang meninggalkan solat dan kesejahteraan mereka.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Ustaz Mohd Asri Daud berkata, kajian itu bertujuan mencari punca masalah dan merangka penyelesaian yang sesuai bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, usaha ini melibatkan beberapa agensi kerajaan negeri dan akan dibuat secara menyeluruh untuk memahami kesan ibadah solat dalam kehidupan rakyat.
“Kita harap hasil kajian ini akan menemui punca dan berusaha mencari penyelesaian kerana soal solat juga menjadi suatu tanggungjawab pemerintah,” katanya ketika Majlis Tadarus al-Quran sempena Ihya’ Ramadan peringkat PAS Kawasan Kota Bharu di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Fateh di sini.
Turut hadir Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Profesor Emeritus Dato’ Dr Johari Mat; Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.
Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali, Ustaz Zulqarnain Hassan, pula membentangkan teks tadarus tahun ini dengan petikan ayat dari Surah Hud.
Ustaz Asri berkata, Kelantan sentiasa mengadakan program pengislahan rakyat secara konsisten di peringkat parti dan kerajaan bagi membentuk masyarakat yang lebih baik.
“Apabila kita ingin membaiki rakyat, kita menggunakan pelbagai pendekatan tanpa meminggirkan mana-mana pihak, hatta bukan Islam.
“Perkara khilaf yang kecil jangan diperbesarkan, juga seharusnya ia ditinggalkan sahaja dan tidak diperdebatkan.”
Beliau turut merakamkan tahniah kepada PAS Kota Bharu kerana program tadarus kali ini turut disertai oleh bukan Islam dari Dewan Himpunan Pendokong PAS, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 9/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!