KUALA LUMPUR: Perdebatan terbuka mengenai isu agama boleh menjadi pedang bermata dua yang mampu membawa kebaikan dan pada masa sama menyebabkan keburukan kepada masyarakat.
Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, semua pihak harus memahami sensitiviti masyarakat dan tidak membesarkan atau memanjangkan isu yang boleh mencetuskan ketegangan.
Katanya, rakyat sudah cukup resah dengan perbalahan yang tidak berkesudahan, sedangkan agama sepatutnya menjadi faktor perpaduan, bukan perpecahan.
“Setiap agama mengajar nilai-nilai kebaikan dan penganutnya perlu mengamalkan ajaran agama dengan penuh hormat terhadap orang lain. Sikap saling memaafkan juga merupakan satu nilai universal yang membawa kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Mengikut ajaran Hindu, konsep “Kshama” atau memaafkan amat ditekankan dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam Bhagavad Gita 16.3, sikap memaafkan adalah sifat ketuhanan yang harus diamalkan oleh setiap individu. Ini bukan hanya untuk ketenangan diri, tetapi untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media.
Dr Balachandran turut mengingatkan semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung sebarang insiden berkaitan.
“Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan tidak membuat kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan. Jangan biarkan emosi dan ego menguasai diri sehingga merosakkan perpaduan yang telah lama kita bina,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengapi-apikan isu 3R (agama, kaum, dan institusi raja) serta mencetuskan ketegangan dalam negara.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kita perlu bertindak matang, mengawal emosi, dan memastikan kesejahteraan negara terus terpelihara.
“Rakyat Malaysia secara keseluruhan mahukan keamanan dan kesejahteraan, jadi marilah kita kembali kepada nilai-nilai kebaikan – saling memahami, menghormati, dan hidup bersama dalam harmoni,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!