KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang projek tebatan banjir untuk ahli parlimen pembangkang adalah fitnah kerana projek berkenaan dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, tender projek tersebut serta kontraktor yang dilantik adalah daripada Kerajaan Persekutuan.
“Bayaran dibuat kepada kontraktor bukan melalui kerajaan negeri. Macam mana boleh sebut kerajaan negeri terima dan agih duit itu kepada ahli parlimen pembangkang?
“Kalau mahu dimaki hamun budak ini munasabah dengan tuduhan, tetapi lebih baik saya cadangkan dibawa ke saringan air kencing. Sejenis budak ‘lapar bual’ tapi kosong. Fitnah dan memualkan,” katanya dalam media sosial miliknya
Mohamad Kamal menyatakan demikian berikutan penyebaran video yang menampilkan kakitangan yang didakwa bertugas di Pejabat Perdana Menteri, yang dipaparkan dalam sebuah podcast TikTok beberapa hari ini.
Kakitangan dalam video tersebut kononnya menerangkan bahawa ‘rumors’ Perdana Menteri Ke-10 (PMX) marah kerana wang tebatan banjir masuk ke dalam akaun kerajaan negeri dan diagihkan kepada ahli parlimen Pembangkang yang tidak menerima sebarang peruntukan.
Mohamad Kamal berkata, walaupun individu yang dimaksudkan tidak penting, perkara yang disampaikan adalah fitnah dan memualkan. – HARAKAHDAILY 9/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!