BARU-baru ini, timbul naratif yang mengaitkan insiden 3 DJ Era (walaupun sebenarnya ia berpunca dari salah faham dan ia sengaja dipanas-panaskan) dengan ‘rasisme sistemik’ dan ‘supremasi majoritarian’ di Malaysia.
Naratif itu menyatakan bahawa selagi dua faktor ini tidak diakui dan ditangani, insiden serupa akan terus berulang.
Namun, adakah dakwaan ini benar-benar berpijak di bumi nyata, atau sekadar retorik yang tidak mengambil kira realiti sosial dan sejarah negara ini?
Rasisme sistemik: Realiti atau retorik?
Rasisme sistemik (systemic racism) merujuk kepada:
“The oppression of a racial group to the advantage of another as perpetuated by inequity within interconnected systems (such as political, economic, and social systems).” (Merriam-Webster)
Secara mudahnya, rasisme sistemik adalah diskriminasi yang tertanam dalam struktur institusi, menafikan hak sesuatu kaum secara berterusan.
Jika ini berlaku di Malaysia, kita seharusnya melihat undang-undang dan dasar negara secara terang-terangan menindas kaum minoriti tanpa sebarang ruang untuk mobiliti sosial dan ekonomi.
Namun, realiti menunjukkan sebaliknya.
Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan keistimewaan kepada Bumiputera dalam sektor tertentu seperti pendidikan dan ekonomi, tetapi ini bukan satu bentuk dominasi mutlak. Hak bukan Bumiputera tetap terjamin dalam banyak aspek:
1. Kebebasan beragama kekal terpelihara.
Malaysia membenarkan pembinaan rumah ibadat bukan Islam secara meluas. Patung Murugan di Batu Caves merupakan salah satu yang tertinggi di dunia.
2. Sistem pendidikan vernakular terus diberi ruang.
Malaysia adalah antara satu-satunya negara yang membiayai sekolah vernakular Cina dan Tamil dengan dana kerajaan. Jika sistem benar-benar menindas kaum minoriti, sekolah-sekolah ini sepatutnya telah dihapuskan.
3. Minoriti menguasai sektor ekonomi utama.
Masyarakat Cina Malaysia terus mendominasi sektor perniagaan dan ekonomi negara.
Berdasarkan fakta ini, jelas bahawa Malaysia tidak mengamalkan rasisme sistemik dalam bentuk yang menekan kaum lain secara mutlak, sebaliknya wujud keseimbangan antara dasar afirmatif dan keadilan sosial.
Allah SWT telah memperingatkan kepada kita untuk berlaku adil seperti firman-Nya dalam Surah An-Nahl ayat 90:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
Supremasi majoritarian: Benarkah majoriti Malaysia menindas minoriti?
Supremasi majoritarian merujuk kepada keadaan di mana kumpulan majoriti menggunakan kuasa mereka untuk menindas minoriti secara sistematik.
Sebenarnya konsep ini berkait rapat dengan ‘tirani majoriti’ (tyranny of the majority), iaitu situasi di mana keputusan majoriti menindas hak-hak minoriti.
Namun, di Malaysia, adakah ini berlaku dalam skala yang memungkinkan minoriti benar-benar ditindas tanpa pembelaan?
1. Hak kebebasan bersuara masih wujud untuk bukan Melayu.
Contoh parti politik seperti MIC dan MCA, mereka bebas memperjuangkan hak kaum masing-masing. Jika benar wujud ‘supremasi majoritarian’ dalam bentuk yang menekan, sepatutnya suara mereka telah lama disenyapkan.
2. Malaysia bukan negara teokratik.
Walaupun Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3(1) Perlembagaan), hak penganut agama lain tetap terjamin.
3. Tiada dasar diskriminasi dalam ekonomi secara mutlak.
Jika benar wujud penindasan majoriti terhadap minoriti, bagaimana mungkin masyarakat bukan Bumiputera terus menguasai ekonomi dan sektor perniagaan?
Justeru, dakwaan bahawa Malaysia mengamalkan ‘supremasi majoritarian’ secara sistematik adalah satu dakwaan yang tidak mempunyai asas kukuh dalam realiti sosio-politik negara.
Mari kita jadikan sabdaan Rasulullah SAW sebagai renungan:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَأَنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ إِلَّا بِالتَّقْوَى
“Wahai umat manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah satu, dan bapa kamu adalah satu (Nabi Adam A.S); dan tiada kelebihan orang Arab ke atas orang ‘Ajam atau orang ‘ajam ke atas Arab, atau orang kulit hitam ke atas yang berkulit merah atau sebaliknya, kecuali menurut nilaian taqwa.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad: 22978)
Islamofobia vs Kafirofobia (?)
Sebahagian pihak mendakwa bahawa umat Islam terlalu mudah tersinggung apabila agama mereka dihina, tetapi tidak mempertahankan agama lain apabila penghinaan berlaku.
Mereka juga menuduh bahawa reaksi terhadap penghinaan terhadap Islam terlalu berlebihan, berbanding apabila agama lain dipermainkan.
Namun, beberapa perkara perlu diambil kira sebelum membuat perbandingan ini:
1. Islam lebih kerap menjadi sasaran penghinaan.
Terdapat banyak kes penghinaan terhadap Islam melalui media sosial, filem, dan ucapan awam. Contoh terbaru termasuk kes Cecelia Yap yang menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial.
2. Kedudukan Islam dalam perlembagaan berbeza daripada agama lain.
Islam bukan sekadar agama tetapi juga sebahagian daripada identiti negara. Oleh itu, penghinaan terhadap Islam sering mendapat reaksi lebih kuat kerana ia bukan sekadar isu agama, tetapi juga berkait rapat dengan asas perundangan dan budaya negara.
3. Reaksi terhadap penghinaan agama lain juga wujud.
Contohnya, individu yang menghina agama Hindu atau Buddha juga pernah dikenakan tindakan. Kes seperti ini menunjukkan bahawa undang-undang tidak hanya melindungi Islam, tetapi juga agama lain.
Benarkah akademik di universiti mengarusperdanakan Islamofobia?
Ada dakwaan bahawa golongan akademik di Malaysia semakin menyebarkan Islamofobia, sama seperti bagaimana sarjana di Barat mengarusperdanakan fasisme sebelum ini.
Namun, realiti menunjukkan sebaliknya. Kebanyakan universiti di Malaysia masih mengekalkan nilai Islam dalam pendidikan. Contohnya:
• Institut pemikiran Islam seperti ISTAC-IIUM terus aktif mengembangkan Islamisasi ilmu.
• Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) diwajibkan di IPTA, menunjukkan peranan Islam dalam akademia masih kukuh.
• Banyak universiti awam menawarkan program pengajian Islam dan Syariah yang terus berkembang.
Jika ada individu tertentu yang membawa idea Islamofobia, mereka tidak mewakili keseluruhan institusi akademik. Justeru, menuduh universiti sebagai ‘melahirkan Islamofobia’ adalah satu generalisasi yang tidak tepat.
Allah SWT telah berfirman:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…” (Surah Al-Baqarah ayat 143)
Kesimpulan: Fakta lebih penting daripada retorik
Analisis yang menyamakan Malaysia dengan negara yang mengamalkan rasisme sistemik dan supremasi majoritarian, sebenarnya ia adalah tidak betul dan terlalu dipengaruhi oleh naratif Barat.
Sebagai masyarakat yang matang, kita perlu berhujah dengan fakta, bukan emosi atau teori luar yang tidak berakar pada realiti Malaysia.
Jika benar ada kelemahan dalam sistem, ia harus diperbaiki dengan pendekatan yang adil dan berasaskan fakta, bukan tuduhan yang tidak tepat.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
8 Mac 2025 | 7 Ramadan 1446H – HARAKAHDAILY 8/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!