Kerajaan perlu tegas kawal anggotanya sendiri

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan kerajaan supaya bertindak tegas mengawal dan mengurus tindak tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini termasuk tindakan berterusan mencabar bidang kuasa dan tugas pihak berkuasa Islam, mahu pun kepentingan sah umat Islam yang jelas telah dan akan terus menyumbang kepada konflik, ketegangan dan suasana tidak harmoni, termasuk antara parti-parti komponen kerajaan.

- Advertisement -

Menurutnya, persepsi negatif yang terbentuk berkait keazaman politik kerajaan dalam mempertahankan kedudukan Islam dan kepentingan sah penganutnya serta kesediaan Putrajaya untuk bertindak tegas terhadap anggota sendiri yang terus melanggar prinsip saling menghormati atau gagal memelihara sensitiviti antara kaum serta agama bukanlah tidak berasas sama sekali.

“PAS percaya kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.

“Tanpa tindakan tegas, telus serta adil, persepsi buruk sedia ada serta suasana tidak harmoni yang terbentuk akan menjadi tanah subur kepada pihak-pihak berkepentingan untuk menabur angin yang berpotensi menjadi badai yang lebih ganas,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kepentingan dan tanggungjawab semua pihak untuk memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum-kaum di negara ini.

Dalam kenyataan di Bandar Baru Bangi, katanya Anwar dilaporkan berkata perbuatan mempergunakan isu-isu berkait agama dan kaum untuk kepentingan peribadi berpotensi merosakkan hubungan itu dan perlu dihindari.

Selain itu, PAS mengalu-alukan pendirian kerajaan berhubung kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang mesti dimartabatkan, selain keperluan semua pihak “tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum” berkait agama dan kaum.

“Penegasan ini adalah selari dengan dasar PAS sejak sekian lama berhubung kepentingan dan keutamaan sikap saling menghormati, memahami dan menghargai sebagai identiti teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Bagi PAS, katanya sikap tersebut bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan cara berfikir kebangsaan yang wajib menjadi amalan dalam semua keadaan dan pada setiap ketika.

“Kegagalan bertindak tegas, adil dan segera terhadap pelanggarannya oleh mana- mana pihak, terutama yang melibatkan kepentingan serta sudut pandang sah orang lain hanya akan mengundang respons buruk daripada kelompok yang terkesan. – HARAKAHDAILY 8/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!