Empat aktivis raih anugerah sempena Semarak Ar-Rayyan

Tok Puan Jusmalailani (tengah) bersama bersama empat penerima anugerah sempena Semarak Ar Rayyan, Peringkat Negeri Kedah 2025
- Advertisement -

ALOR SETAR: Seramai empat individu diberi penghormatan menerima anugerah sempena program Semarak Ar Rayyan Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

- Advertisement -

Anugerah itu diberikan kepada mereka yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat sama ada dalam bentuk tenaga dan buah fikiran.

Aktivis Jabatan Amal Malaysia Negeri Kedah, Mohd Aziz Kassim yang berkhidmat selama 33 tahun bersama jabatan itu menerimanya bagi kategori Anugerah Tokoh Lelaki.

Manakala Ketua Penolong Mufti (Bahagian Fatwa), Jabatan Mufti Negeri Kedah, Dr Ustazah Faridah Ahmad, pula dipilih menerima Anugerah Tokoh Wanita.

Sementara dua anak muda iaitu Irfan Amran dan Atiyqah Abdullah menerimanya bagi Anugerah Tokoh Anak Muda Lelaki dan Wanita.

Perasmian majlis dan penyampaian semua hadiah anugerah kepada penerima telah disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan kupasan berkenaan Surah An-Anfal oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood.

Kemudian disusuli Sembang Santai ‘Mengintai Asiah Dalam Kehidupan Seharian’ disampaikan panel jemputan, Ustazah Asmak Husin dan dimoderatorkan ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari.

Pada majlis itu juga diadakan Gimik Pelancaran Buku ’20 Wanita Yang Disebut Dalam Al Quran’ yang disempurnakan oleh Tok Puan Jusmalailani.

Turut menyampaikan ucapan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali dan Pengerusi Pertubuhan Nur Hikmah, Ustazah Fatimah Wan Teh.

Semarak Ar Rayyan Peringkat Negeri Kedah merupakan program di bawah Dato’ Ustazah Siti Ashah menerusi portfolio Pembangunan Insan dan dikendalikan dengan kerjasama Pertubuhan Nur Hikmah.

Antara yang hadir, termasuklah ADUN Sungai Limau, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin dan ADUN Bandar Baru, Ts Dr Mohd Suffian Yusoff.

Termasuk ahli-ahli Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Khas, Negeri Kedah (PIKAT). – HARAKAHDAILY 8/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!