Amanah kepimpinan dan pentadbiran ini besar

Dato’ Husain Awang
- Advertisement -

PESANAN Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang sempena Tamrin Qiadi peringkat negeri Terengganu:

- Advertisement -

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan berilah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat buat orang mukmin.” (Az-Zariyat: 55)

1. Berdasarkan ayat al-Quran:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumaah: 2)

Kita mewarisi kebaikan ini dari mereka (generasi terdahulu)

Umat terbaik ini berpegang kepada Al-Quran dan hadis, dari sudut aqidah dan panduan hidup.

Mereka dijernihkan aqidah dan akhlak oleh nabi, menjelaskan hukum dan perintah Allah selaras dengan sifat manusia sebagai hamba Allah.

Inilah rahsia kekuatan generasi awal hingga digeruni oleh musuh seperti kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rom.

Pembesar Rom pernah bertanya mengenai para sahabat Nabi yang berjuang itu: Tidakkah mereka itu manusia? Ada yang menjawab: Mereka itu manusia tetapi tidak seperti manusia lain. Mereka itu, antaranya:

رهبان بالليل فرسان بالنهار

“Orang yang kuat beribadat di malam hari dan pejuang di siang hari.”

Punca kekuatan yang kita boleh dapati daripada bentuk ini ialah aqidah yang mantap, ketulusan memikul mandat atau tugasan dalam jemaah.

2. Kelemahan, kecelaruan manusia ialah kerana tidak mengikut manhaj, sistem daripada Allah. Ini dimulai oleh iblis melalui ‘manhaj syaitani’, konsep penilaian taraf dan keturunan dianggap lebih dan kurang menurut neraca. Iblis berkata:

أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ

Maksudnya: “Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan Engkau ciptakannnya daripada tanah.” (Al-A’raf: 12)

Kita di dalam jemaah Islam, setaraf sahaja. Kita semua memikul amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Kita akui ini di dalam syahadah kita.

اشهد ان لا اله الا الله

Kita berada di mana-mana peringkat sekalipun, sama ada kepimpinan tertinggi hingga di cawangan, kita tetap pikul amanah.

Nabi SAW pernah menyebut kepada Abu Zar, antaranya:

..و إنها أمانةٌ و إنها يومَ القيامةِ خزيٌّ و ندامةٌ إلا من أخذها بحقِّها و أدَّى الذي عليه فيها

Maksudnya: “…dan sesungguhnya ia (jawatan) itu adalah amanah. Pada hari kiamat ia menjadi kerugian dan penyesalan melainkan orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan tanggungjawabnya.” (Ghayah al-Muram: 174)

Amanah sekarang berat kerana kita sudah ada kuasa memerintah di Terengganu, termasuk di pelbagai peringkat. Kita kena pikul amanah ini.

Kita berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Kita pernah bawa pelbagai slogan: ‘PAS Ganti Umno’, ‘Teguh Pertahan’ dan lain-lain. Slogan kini: ‘Teguh Memimpin’ kerana kita mahu pertahankan negeri ini dan melangkah ke hadapan.

Rakyat menilai apa yang kita buat. Ia akan diterjemah di dalam pilihanraya umum akan datang.

Banyak pengorbanan diperlukan untuk pertahankan kemenangan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas, kita menang dengan satu rekod yang tidak biasa dicapai, sapu bersih. Ia adalah dengan pertolongan Allah:

وما النصر الا من عند الله

“Tidak ada pertolongan melainkan daripada sisi Allah.”

Kemenangan ini juga dengan sebab-musabab daripada kita.

Kita menang juga dengan sebab luaran, termasuk adanya Muafakat Nasional (MN) ketika itu dan suasana politik yang benci BN ketika itu.

Faktor-faktor ini mungkn berubah untuk Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. Kita kena bina keyakinan kita sendiri, juga kepada rakyat.

3. Mesyuarat agung di peringkat masing-masing sedang berjalan. Bertanding atau tidak adalah hak masing-masing, perlembagaan membenarkan dan ruang diizin oleh syarak. Yang penting cari reda Allah dan alasan yang tidak bercanggah dengan syarak.

Kita perlu mengakarumbikan jemaah kita. Jagalah parti kita.

Catatan:
USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Terengganu
Sabtu, 8 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 8/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!