BAILTULMAQDIS: Walaupun berdepan halangan ketat polis rejim Zionis Israel, kira-kira 90,000 penduduk Palestin berkumpul menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa di sini, semalam.
Angka itu diberikan oleh Ketua Pengarah Waqaf Islam, Sheikh Azzam al-Khatib.
Pasukan polis Israel dikerahkan dengan ketat di sekitar masjid dan seluruh Bandar Lama Baitulmaqdis untuk mengehadkan kemasukan penduduk Palestin.
Khamis lalu, polis Israel mengumumkan bahawa 3,000 pegawai akan ditempatkan di seluruh Baitulmaqdis Tmur pada i Jumaat.
Pihak berkuasa Israel juga mengenakan sekatan ketat ke atas penduduk Palestin dari Tebing Barat yang diduduki ketika cuba pergi ke Baitulmaqdis.
Penduduk Palestin memberitahu bahawa tentera Israel menghalang puluhan ribu rakyat Palestin melintasi sekatan ketenteraan yang mengelilingi Baitulmaqdis untuk sampai ke Masjid Al-Aqsa.
Pejabat Perdana Menteri Israel pada Khamis lalu, mengumumkan bahawa hanya lelaki berumur lebih 55 tahun, wanita berumur lebih 50 tahun dan kanak-kanak bawah 12 tahun dibenarkan masuk ke masjid.
Penduduk Palestin juga diwajibkan mendapat kelulusan keselamatan terlebih dahulu dan menjalani pemeriksaan ketat di laluan yang ditetapkan.
Walaupun dengan sekatan ketat itu, puluhan ribu penduduk Palestin dari Baitulmaqdis dan bandar Arab lain di Israel berjaya sampai ke Masjid al-Aqsa.
Kumpulan sukarelawan, termasuk pengawal Al-Aqsa, pengakap, dan pasukan keselamatan turut membantu jemaah.
Imam solat Jumaat Masjid Al-Aqsa, Muhammad Salim Muhammad Ali, memuji kesungguhan dan keberanian jemaah untuk sampai ke masjid walaupun dengan sekatan Israel dan menggesa usaha lebih kuat untuk melindungi masjid itu.
Pada penghujung solat, jemaah melakukan solat jenazah ghaib untuk penduduk Palestin yang terkorban akibat kekejaman tentera Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Sejak serangan ganas Israel di Gaza pada 7 Oktober 2023, pihak berkuasa Israel mengenakan peraturan ketat yang mengehadkan pergerakan rakyat Palestin dari Tebing Barat ke Baitulmaqdis Timur. – ANADOLU
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!