TOT DUN Kayang perkasa komuniti tangani isu dadah

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 40 pemimpin komuniti dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang menyertai Training of Trainer Community Empowerment (TOT CE) di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, minggu lalu.

- Advertisement -

Program ini bertujuan memperkasakan kepimpinan masyarakat dalam menangani isu penyalahgunaan dadah serta merangka program pencegahan yang lebih berfokus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil, memuji usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis Selatan yang berjaya mengemudi program ini dengan baik.

“Syabas kepada AADK Perlis Selatan atas inisiatif ini. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pemimpin komuniti mengenai isu semasa berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Malah turut merangka pelbagai agenda dan membentuk jawatankuasa bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara semua pihak dalam memastikan matlamat Dasar Dadah Terkawal 2025 dapat direalisasikan.

TOT CE DUN Kayang 2025 menampilkan beberapa sesi latihan dan perbincangan yang memberi tumpuan kepada strategi intervensi awal, pencegahan di peringkat komuniti, serta penglibatan aktif pemimpin setempat dalam usaha membanteras dadah.

Program ini ujar Asrul lagi, diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada gerakan kesedaran yang lebih menyeluruh dalam masyarakat, sekali gus membantu membendung penyalahgunaan dadah di kawasan Kayang secara lebih efektif. – HARAKAHDAILY 7/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!