KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan makanan telah dimasak hanya boleh dijual kepada pelanggan bermula pukul 3:00 petang bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan yang telah lama dikuatkuasakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, sebelum waktu tersebut, peniaga tidak dibenarkan menjual makanan telah dimasak, termasuk yang dibungkus.
Bagaimanapun premis milik peniaga bukan-Muslim yang dikhususkan untuk golongan tersebut sahaja dibenarkan.
“Tempoh membungkus makanan hanya dibenarkan bermula pukul 3:00 petang, manakala pelanggan yang ingin berbuka puasa di kedai pula hanya boleh memasuki premis dan duduk di meja bermula pukul 6:00 petang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui sewaktu meninjau Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.
Menurut beliau, peraturan ini telah berjalan sejak sekian lama dan terus dikuatkuasakan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai penguatkuasaan terhadap individu yang tidak berpuasa.
“Tangkapan terhadap mereka yang tidak berpuasa dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), termasuk tindakan kompaun di bawah Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu juga turut mengingatkan peniaga di tapak jualan seperti Bazar Ramadan agar memastikan kebersihan sentiasa terjaga.
“Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menyediakan tong sampah besar jenis ‘tong roro’ bagi memudahkan peniaga membuang sisa buangan masing-masing,” katanya.
Beliau turut memberitahu kutipan sampah meningkat sebanyak lebih 4 peratus pada bulan Ramadan berbanding hari biasa, khususnya melibatkan pembungkusan makanan seperti plastik.
“Tahun lepas, jumlah sampah yang dikutip adalah sebanyak 785.4 tan sebulan sepanjang Ramadan, dengan purata 251.7 tan sehari dengan peningkatan sebanyak 4.4 peratus,” katanya.
Beliau menjangkakan jumlah sampah tahun ini akan meningkat pada kadar yang sama iaitu 4.4 peratus.
“Saya ingin mengingatkan peniaga makanan supaya menjaga kebersihan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pelanggan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!