Tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu penghinaan agama Islam semakin menjadi perhatian masyarakat. Beberapa kes berprofil tinggi melibatkan individu yang didakwa menghina Islam dilihat menerima tindakan berbeza-beza, menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang.
Kes Terkini
- Cecilia Yap dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan menghina Nabi Muhammad SAW.
- Harith Iskander dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan mempersenda agama Islam melalui media sosial.
- Hannah Yeoh pemimpin DAP, yang didakwa mengaku sebagai “duta tuhan” masih dalam proses perbicaraan tanpa sebarang keputusan muktamad.
- Nga Kor Ming pemimpin DAP, yang menggunakan nama Baginda SAW dalam hadis rekaan, tidak dikenakan tindakan tegas sehingga kini.
- Isu campur tangan terhadap pengurusan logo halal dan garis panduan umat Islam menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam turut menimbulkan kebimbangan kerana mencabar prinsip syariat Islam.
Persoalan utama ialah mengapa tindakan undang-undang terhadap penghinaan agama Islam sering kali dilihat tidak konsisten. Islam sebagai agama persekutuan sepatutnya mendapat perlindungan undang-undang yang tegas dan adil. Peruntukan undang-undang seperti:
- Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam adalah agama Persekutuan).
- Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan (Menyekat penyebaran agama lain kepada orang Islam).
- Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan (Kesalahan mengeluarkan kata-kata yang menyakiti perasaan agama dan ketidakharmonian, hukuman penjara sehingga 1 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 298A penjara 2 hingga 5 tahun)
- Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Kenyataan yang mendatangkan kegentaran awam, hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali)
- Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, hukuman sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 1 tahun sebelum pindaan, dan sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 5 tahun selepas pindaan 2025)
Namun, masyarakat melihat seperti ada diskriminasi dalam penguatkuasaan undang-undang di mana tindakan pantas diambil terhadap individu tertentu, sementara yang lain seolah-olah kebal dan tiada tindakan serius setimpal.
Isu tiga DJ Radio ERA yang didakwa menghina agama Hindu memperlihatkan tindakan pantas, liputan media meluas, dan permohonan maaf terbuka termasuk lawatan ke kuil.
Sebaliknya, umat Islam sering kali diminta bersabar, merendah diri dan menyerahkan kepercayaan kepada sistem yang dilihat gagal membela hak mereka.
Kesan kepada Masyarakat
- Timbul persepsi kasta dalam penguatkuasaan undang-undang.
- Wujud anggapan pengaruh tertentu mengawal pihak berkuasa.
- Menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan.
- Meningkatkan sentimen ketidakpuasan hati masyarakat majoriti.
- Memperlihatkan ketidakseimbangan dalam mempertahankan agama Islam dan hak majoriti.
Tindakan tegas tanpa pilih kasih terhadap semua pihak yang menghina agama Islam perlu diambil. Pihak berkuasa seperti Polis ADiraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) melaksanakan tugas berlandaskan prinsip keadilan tanpa diskriminasi.
Jika undang-undang ini dikuatkuasakan secara saksama tanpa pilih kasih, maka seharusnya tindakan tegas dikenakan kepada semua pihak termasuk pemimpin politik yang terang-terangan menghina Islam dan mencetuskan keresahan awam.
Kami menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak mengambil tindakan melulu. Gunakan saluran undang-undang yang betul dalam menyuarakan tuntutan.
Umat Islam diseru untuk bersatu dalam penyatuan Melayu dan Islam sebagai benteng mempertahankan agama dan hak umat Islam di tanah air ini.
Pemimpin Melayu diingatkan supaya tidak hanyut dalam buaian kuasa bersama golongan yang celupar. Tiada salah bagi pemimpin berkorban demi mempertahankan agama dan umat Islam, meskipun terpaksa kehilangan kuasa.
Kelemahan pentadbiran negara yang gagal menjiwai semangat Melayu dan Islam menjadi punca utama ketidakseimbangan dalam mempertahankan agama persekutuan.
Persoalannya, sampai tahap mana lagi umat Islam perlu bersabar dan merendah diri apabila agama yang menjadi tonggak perlembagaan terus dihina tanpa pembelaan?
Jika keadilan tidak ditegakkan, jangan disalahkan jika suara majoriti semakin kuat menuntut pembelaan.
Mohd Zai Mustafa,
Pengerusi,
Gabungan NGO Melayu Islam,
Gerakan Pembela Ummah.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!