
AYER KEROH: Hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi tadi telah menyebabkan banjir kilat di daerah tengah Melaka dengan 32 kawasan terjejas sehingga mengakibatkan banyak keluarga mengalami kerugian setelah harta benda ditenggelami air.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Negeri Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, isu banjir kilat itu telah berlarutan selama hampir 38 tahun.
“Saya pernah melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kebimbangan penduduk, namun tindakan diambil masih belum menyelesaikan masalah secara menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau turut melakukan tinjauan ke beberapa kawasan dan mendapati banyak lokasi masih berisiko banjir berpunca dari parit yang tidak dikorek secara berkala, selain lalang dan pokok setinggi beberapa meter menyebabkan sistem saliran tersumbat.

“Selain banjir, tempat ini juga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan wabak,” katanya berharap pihak dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan masalah yang sama berulang di masa hadapan.
Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail dalam pada itu turut menyatakan kebimbangan terhadap situasi banjir di kawasan Melaka Tengah dan Jasin.
Beliau berharap, agar agensi berkaitan dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya bagi membantu mangsa yang terjejas.
“Semoga Allah memberikan keselamatan dan kesabaran kepada semua mangsa banjir yang terlibat. Agensi-agensi kerajaan yang terlibat diharap dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin Insya-Allah.
“Ya Allah permudahkanlah jangan dipersulitkan dan berikanlah kebaikan pada akhirnya,” katanya.
Terdahulu, jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 330 orang daripada 93 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 248 orang daripada 77 keluarga pada 8 malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kesemua mereka melibatkan penduduk yang terjejas di dua daerah itu dengan mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS). – HARAKAHDAILY 7/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!